Sepupu Cucuk Mata Dengan Bunga Api, Nadeera Hampir Buta
PENYANYI, Nadeera, 32, memberitahu peristiwa menjelang Aidilfitri yang tidak akan dilupakan adalah apabila matanya hampir buta akibat terkena bunga api.
Pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini berkata, kejadian itu berlaku apabila sepupunya secara tidak sengaja mengacu bunga api kepadanya.
Pun begitu, pelantun lagu ‘Bukan Lagi Kita’ itu bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan serius dialami, sebaliknya hanya luka kecil.
“Ada satu peristiwa yang saya ingat sampai sekarang, walaupun kejadian itu berlaku ketika umur saya empat tahun tapi saya masih ingat.
“Mata saya hampir buta sebab terkena bunga api. Waktu itu malan raya, esok nak raya dah. Saya dan saudara-mara main bunga api, tiba-tiba salah seorang sepupu saya cucuk dekat bahagian mata saya.
“Hampir buta, tapi syukur tiada yang serius, hanya luka kecil sahaja di bahagian mata,” katanya pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu ke-39 itu.
Susulan insiden yang menimpa dirinya, Nadeera mengambil kesempatan untuk menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak-anak ketika bermain bunga api.
Jelasnya, keselamatan adalah perkara paling penting biarpun masing-masing terlalu teruja menyambut raya.
Saya harap kepada ibu bapa dan adik-adik di luar sana supaya berhati-hati kalau main bunga api. Kita di bulan Syawal memang seronok nak bermain, tetapi keselamatan wajib diutamakan,” tuturnya lagi.