Bunyi Mercun Kuat Beri Risiko Pada Gegendang Telinga
MERCUN merupakan satu benda yang cukup sinonim dengan musim perayaan. Namun, di sebalik kemeriahan warnanya, terdapat kesan buruk mercun terhadap kesihatan yang sering kita abaikan – terutama pada telinga, hidung dan tekak.
Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr Jeyanthi Kulasegarah menjelaskan, setiap individu berisiko terhadap kesan yang ‘dilepaskan’ oleh mercun serta bunga api.
“Antara golongan yang lebih berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu dengan masalah pernafasan atau pendengaran.
“Saya menggalakkan semua orang agar lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan diri serta orang tersayang,“ jelasnya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Untuk rekod, mercun dan bunga api mampu menghasilkan bunyi melebihi 150 desibel (dB), yang dikira jauh lebih tinggi daripada had selamat pendengaran, iaitu 85dB.
Antara risiko kesihatan atau kecederaan yang boleh dialami terhadap bunyi letupan mercun termasuklah kehilangan pendengaran, tinnitus (deringan dalam telinga), atau sakit telinga.
Lebih memburukkan keadaan, terdapat juga kes yang teruk sehingga menyebabkan gegendang telinga pecah, mengakibatkan kerosakan pendengaran sementara atau kekal.
Dalam pada itu, asap dan bahan kimia yang dilepaskan oleh bunga api juga boleh menyebabkan iritasi tekak, bronkitis serta memburukkan masalah pernafasan seperti asma.
Partikel halus yang dibebaskan juga boleh mencetuskan alahan seperti rinitis atau sinusitis.
“Apabila bunga api meletup, ia membebaskan bahan kimia dan zarah halus ke udara seperti sulfur dioksida, nitrogen oksida serta partikulat halus (PM2.5 dan PM10) yang boleh memasuki sistem pernafasan.
“Penyedutan bahan pencemar ini boleh menyebabkan keradangan tekak dan paru-paru serta mengurangkan fungsi paru-paru,“ jelasnya lagi.