Sel Kanser Kembali Aktif, Elyana Jalani Semula Kemoterapi

MESKIPUN pernah disahkan bebas daripada kanser limfoma pada 2021, penyanyi Elyana mengakui perkara berkenaan bukanlah jaminan untuknya tidak meneruskan apa-apa rawatan susulan.

Jelasnya, sel kanser terlebih berpotensi untuk kembali aktif sekiranya dia tidak meneruskan rawatan kemoterapi seperti mana yang disarankan oleh doktor kepadanya sebelum ini.

“Kali terakhir saya melakukan kemoterapi tiga tahun lalu. Doktor ada cakap sel tersebut sudah tiada tetapi mereka sarankan untuk menyambung rawatan mengikut jadual.

“Mungkin sebab saya tak dengar cakap sebab nak berehat seketika sebab dah lama sangat buat kemoterapi sebelum ini. Bila nak buat semula kemoterapi, doktor nampak ada sel yang kembali aktif. Mujur saya cepat bertindak,” dedahnya baru-baru ini.

Sejak disahkan menghidap kanser limfoma pada 2010, wanita yang berusia 39 tahun ini sudah melalui pelbagai rawatan sehingga bebas daripada penyakit paling ditakuti oleh kebanyakan orang itu.

Perjalanan dan pengalaman yang dilalui olehnya sebenarnya banyak memberikan inspirasi kepada mereka yang senasib dengannya.

Elyana membuat pendedahan ketika sidang media Festira baru-baru ini.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini dia sudah jarang berkongsi perihal rawatan dan sebagainya di media sosial untuk menjaga emosi sendiri.

Ada komen yang dilemparkan oleh netizen benar-benar membuatnya terasa hati sehingga dia terfikir untuk tidak berkongsi apa-apa lagi tentang proses rawatan yang sedang dilalui.

“Ada kala memang saya terasa hati dengan komen yang dilemparkan mereka. Tipulah kalau saya tak teras hati dengan kata-kata mereka disebabkan perkongsian tentang rawatan yang sedang dilakukan.

“Ada orang mengambil sisi positif dan ada pula yang ambil negatif. Bila kita tengah sakit, tak boleh kawal komen buruk mereka. Jadi saya hanya kongsi apa yang patut sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu Elyana bersyukur kerana kesihatannya semakin baik dari semasa ke semasa.

Dia juga masih aktif menyanyi seperti biasa dan bakal terlibat membuat persembahan dibeberapa lokasi sepanjang Festival Ramadan Selangor (Festira) berlangsung sepanjang Ramadan ini.

Related post

Leave a Reply