Agnes Mo Dedah Derita Penyakit Autoimun
PENYANYI popular Indonesia, Agnes Mo membuat pengakuan apabila dia mengidap alopecia yang berkait rapat dengan penyakit autoimun tanpa disedari.
Penyakit tersebut terjadi kerana sistem kekebalan tubuh terganggu dan menyerang folikel rambut sehingga membuatkan mereka yang menderita mengalami masalah keguguran rambut dan botak.
“Semuanya berlaku lebih kurang 15 tahun yang lalu apabila berada di Amerika Syarikat (AS). Waktu tu alopecia yang dihidapi sangat teruk sehingga membuatkan pendandan rambut mengesyaki sesuatu.
“Penyakit itu terjadi kerana sel darah putih menyerang folikel rambut sehingga membuatkan keguguran. Semuanya berlaku kerana stres,” katanya.
Agnes berkata demikian menerusi satu wawancara menerusi rancangan PodHub yang dikendalikan oleh Deddy Corbuzier dan Vidi Aldiono baru-baru ini.
Pastinya situasi berkenaan amat mengejutkan tambahan pula ketika itu dia sedang melebarkan sayap ke AS. Dia sendiri tidak menyangka masalah keguguran rambut yang dihadapi begitu serius.
Tidak lama selepas itu, penyanyi yang popular dengan lagu Matahariku ini mula mendapatkan rawatan doktor untuk mengatasi masalah alopecia tersebut.
Selain mengalami stres, penghidap alopecia ini biasa turut didorong oleh faktor lain seperti genetik, masalah hormon dihydrotestosterone (DHT) yang semakin meningkat seiring pertambahan usia.