Filem Seram Lebih Diminati, Polong Harap Tuah
MELIHATKAN keadaan semasa industri perfileman tempatan tidak dinafikan, naskhah seram sememangnya mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Maka tidak hairanlah kebanyakan pengkarya dan rumah produksi memilih tema tersebut termasuklah syarikat Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) untuk menghasilkan filem sulung terbitan mereka berjudul Polong.
Pengarahnya, Zulkarnain Azhar berkata, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan kerana menampilkan sebuah jalan cerita yang mempunyai tarikan tersendiri.
“Antara tarikan dalam naskah ini, Polong adalah sebuah filem yang bertemakan dosa silam, legasi serta akibat yang tidak dapat dielakkan kesan daripada perbuatan masa lampau terutama sekali dengan mengamalkan ilmu hitam.
“Kisahnya bukan sekadar sarat dengan elemen seram, tetapi menjadi simbolik kepada kegelapan yang kita bawa dalam diri kita sendiri, sama ada melalui dosa masa lalu atau trauma yang tidak
dapat diselesaikan,” jelasnya.
Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.
Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong berkenaan ingin membalas dendam selepas kematian Maria dan sumpah laknatnya perlu dihadapi oleh pewaris Maria.
Merancang untuk memulakan penggambaran pada bulan Mei ini, Polong menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong dan Nadiya Nisaa.

Sementara itu, Onn Norshal Hamzah selaku Penerbit Eksklusif berkata, pihaknya memilih cerita seram sebagai projek sulung syarikat berkenaan berdasarkan kepada filem bergenre seram yang selalu mendapat sambutan hangat.
Jelasnya, filem seram menjadi pilihan untuk projek pertama GSPSB adalah berdasarkan
kepada keyakinan syarikat terhadap pemintaan pasaran yang tinggi terhadap genre sedemikian.
“Pemilihan Polong telah melalui satu proses diskusi yang sistematik dengan melihat kepadakekuatan komersil yang tinggi, selain dijangka mampu memberikan impak saingan dalam pasaran filem tempatan dan luar di pawagam.
“Dengan kualiti penceritaan, penerbitan dan kuasa pasaran yang kuat bagi genre seram, pihak GSPSB melalui filem Polong yakin dengan kemamampuan kami untuk menawarkan kelainan dari segi karya dengan kekuatan yang merangkumi semua aspek penerbitan,” jelasnya.
Mengenai pemilhan Zulkarnain selaku pengarah, Onn menyatakan pengalaman pastinya menjadi faktor utama.
Ujarnya, ia berdasarkan kejayaan pengarah tersebut menerusi beberapa buah filem yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Takluk, Air Force dan J Revolusi.
“Dengan pemilihan Zulkarnain selaku teraju utama filem ini, kami yakin filem ini pasti menjadi satu lagi naskhah yang ditunggu oleh pencinta filem tempatan yang sentiasa dahagakan karya bertenaga dan komersil.
“Penglibatan 10 Star Cinemas Sdn Bhd sebagai pengedar dan agen pemasaran filem ini akan menjadi satu langkah strategik untuk mempersiapkan filem ini sebelum memasuki pawagam.
“Kami percaya 10 Star Cinemas Sdn Bhd yang memiliki rangkaian pawagam komuniti serta pasukan profesional pengedaran berpengalaman mampu mengangkat filem ke destinasi pasaran yang disasarkan,” jelasnya.