Sah Wujud Orang Ketiga, Baim Wong Ceraikan Isteri
Pelakon popular Indonesia, Baim Wong sah bercerai dengan isterinya, Paula Verhoeven di Mahkamah Agama di Jakarta Selatan pada Rabu.
Menurut hakim, H Suryana dalam penghakiman berkata, pihak mereka sudah mempertimbangkan pelbagai hujah dan fakta sepanjang proses perbicaraan berlangsung.
“Dalam proses perbicaraan pelbagai hujah telah disampaikan oleh pemohon (Baim) dan ada perselisihan faham dan pertengkaran dalam rumah tangga pemohon.
“Dan apa yang ditanyakan kepada mahkamah adalah terbukti dan sebab demikian permohonan cerai dibenarkan,” ungkap H Suryana seperti dipetik Detik Hot.
Pihak mahkamah juga mendapati penceraian tersebut tidak sekadar soal pertengkaran dalam rumah tangga sebaliknya wujud orang ketiga dalam perkahwinan mereka.
Mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan nama lengkap orang ketiga tersebut namun mengesahkan kewujudan individu yang dikenali dengan NS.
“Berkaitan dengan pihak ketiga juga ada dalam perbicaraan dan mahkamah mengesahkan perkara tersebut terbukti.
“Dengan adanya pihak ketiga yang diketahui oleh media, mahkamah tidak akan mendedahkan nama sebenarnya tetapi menyatakan perkara tersebut wujud,” tambahnya lagi.
Dengan adanya bukti tersebut, mahkamah menyatakan Paula Verhoevan sebagai isteri yang nusyuz atau derhaka kepada suami.
Mahkamah juga mendapati Paula lalai menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan mengkhianati perkahwinan.
Sebagai rekod, Baim dan Paula berkahwin pada 22 November 2018 dan dikurniakan dua orang anak.