Tiada Rancangan Kembali Ke Industri, Eja Mahu Fokus Urus Keluarga

Pelakon, Eja, 53, mengakui tiada sebarang perancangan untuk kembali ke gelanggang lakonan selepas sedekad menghilangkan diri dari radar seni.

Menurut pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin, fokusnya kini adalah untuk menguruskan keluarga dan lebih selesa duduk di rumah sambil menjalankan perniagaan sambal yang diusahakan.

“Kalau hendak diikutkan, 2015 adalah tahun terakhir saya berada dalam industri seni. Bermakna, sudah genap 10 tahun saya sudah tidak aktif. Disebabkan itulah, saya agak berdebar-debar berdepan media.

“Sekarang saya fokus kepada keluarga dan perniagaan. Alhamdulillah, pada 18 Disember lalu, saya buka kedai di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Saya jual sambal dan produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) lain,” kongsi ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Meskipun sudah lama menyepi, Eja bagaimanapun bersyukur namanya masih diingati peminat dan baru-baru ini sebuah drama dibintanginya telah ditayangkan.

“Alhamdulillah, masih ramai yang menonton drama dan filem saya. Kita tahu, drama dan filem dahulu, skrip sangat bagus.

“Lakonan juga beri kesan hingga penonton ingat sampai hari ini. Saya bersyukur, biarpun tidak banyak drama dan filem, namun, yang sedikit itulah yang diingati sampai sekarang,” tuturnya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Eja memaklumkan dia masih menerima banyak tawaran berlakon, namun terpaksa menolak secara baik.

Sekadar info, selepas mendirikan rumah tangga dengan tokoh korporat, Mohd Silahuddin Jamaluddin, Eja dilaporkan mula memperlahankan karier seninya sejak 2017.

Related post

Leave a Reply