Mahu Bawa Kelainan, KRU Café Tawar Pengalaman Baharu Buat Semua

Selepas mencipta fenomena menerusi siri konsert yang mendapat sambutan luar biasa, kumpulan legenda KRU kini melangkah ke satu lagi fasa baharu apabila bakal membuka KRU Café tidak lama lagi.
Kafe itu bukan sekadar menawarkan pengalaman menjamu selera, malah bakal menjadi ruang yang menggabungkan muzik, persembahan secara langsung, nostalgia dan pelbagai aktiviti interaktif buat peminat.
Menurut anggota KRU, pembukaan kafe itu adalah cara terbaik untuk terus mendekati peminat selepas menerima sokongan luar biasa sepanjang perjalanan kerjaya mereka.
Edry Abdul Halim berkata, mereka amat menghargai kasih sayang yang diberikan peminat sejak beberapa dekad lalu.
“Kami sentiasa amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan oleh para peminat sepanjang beberapa dekad ini.
“KRU Café merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama,” katanya.
Hal yang sama turut dizahirkan oleh Yusry Abdul Halim yang berharap KRU Café mampu menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri hiburan.

Jelasnya, beliau mengharapkan KRU Café dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu.
“Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti,” katanya.
Idea mewujudkan KRU Café tercetus susulan kebangkitan semula fenomena KRU selepas kumpulan itu berjaya menjual habis lima konsert di Malaysia dan Singapura selain mendominasi carta penstriman digital.
Melihat kepada sokongan berterusan peminat, KRU mahu mewujudkan sebuah ruang yang membolehkan mereka terus berinteraksi dengan peminat di luar pentas konsert, sekali gus meraikan legasi kumpulan itu dan memperkenalkannya kepada generasi baharu.
Sementara itu, Datuk Norman Abdul Halim optimis KRU Café berpotensi berkembang ke seluruh negara sekiranya cawangan pertama menerima sambutan yang memberangsangkan.
“Kami amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Ajak dan pasukannya melalui Bumbu Babah. Membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa.
“Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang kami jangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia,” tambahnya pula.

Bagi menjayakan projek itu, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd yang merupakan syarikat naungan kumpulan ini menghimpunkan beberapa rakan strategik termasuk TMG Ventures Sdn Bhd yang akan membangunkan keseluruhan konsep makanan dan minuman di KRU Café.
Turut menyertai kerjasama itu ialah Babah Ventures Sdn Bhd, syarikat di sebalik jenama Bumbu Babah yang diasaskan bersama pelawak dan pengacara Ajak Shiro.
Ajak berkata, beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan menyertai projek berkenaan.
Jelasnya, dia menerima idea daripada pihak Sony Music yang hadir membentangkan idea projek ini dan pihaknya bersetuju untuk terlibat sebelum mesyuarat pertama selesai.
“Ini merupakan satu penghormatan yang amat besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU. Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.
“Kami teruja untuk menggabungkan legasi luar biasa mereka dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama-jenama restoran,” jelas Ajak pula.
Menyasarkan membukan cawangan pertama KRU Café pada suku ketiga tahun ini di Aneka Walk, Shah Alam, lokasi tersebut cukup strategik yang memfokuskan kepada makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti.



