“Saya Buat SOP Mahu Melindungi Keselamatan Bayi”

Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bayi dan kanak-kanak yang dilaksanakan di restoran miliknya, Rembayung, bukan bertujuan menyusahkan pelanggan, sebaliknya bagi mengutamakan aspek keselamatan.
Menurut Khairul atau lebih dikenali sebagai KA, SOP tersebut diperkenalkan selepas mengambil kira beberapa insiden yang berlaku sepanjang enam bulan restoran itu beroperasi.
“Saya buat SOP sebab mahu lindungi keselamatan bayi dan kanak-kanak selepas apa yang pernah berlaku di Rembayung sepanjang enam bulan kita berniaga.
“Saya tidak untung pun dengan SOP ini. Cuba bayangkan kalau ada 30 hingga 50 bayi di Rembayung setiap hari, saya sebenarnya kehilangan peluang jualan daripada pelanggan dewasa kerana bayi bukan pelanggan yang makan.
“Saya rugi ribuan ringgit sebenarnya, tetapi saya tetap buat SOP ini sebab mahu jaga keselamatan bayi dan kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Jelas Khairul, sebelum ini pihak restoran tidak mengira bayi sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan, namun keadaan berubah apabila semakin ramai pengunjung membawa kereta sorong bayi sehingga menimbulkan isu dari segi ruang dan keselamatan.
“Sebelum ini memang kita tidak kira bayi, tetapi realitinya ramai ibu bapa datang ke Rembayung dengan membawa kereta sorong bayi. Bila jumlahnya semakin ramai, timbul persoalan di mana mahu meletakkan kereta sorong itu.
“Bayangkan jika kereta sorong diletakkan di tepi meja dan pada masa sama kakitangan membawa lauk panas ke meja pelanggan. Jika berlaku tumpahan ke atas bayi atau kereta sorong, isu keselamatan boleh timbul.
“Mungkin ada yang melihat saya sebagai kejam atau tidak berempati, tetapi saya perlu menguruskan kira-kira 1,000 pelanggan setiap hari. Tanpa SOP yang jelas, isu keselamatan akan menjadi lebih sukar dikawal,” jelasnya.
Dalam masa sama, Khairul berkata pihak restoran perlu melaksanakan SOP secara konsisten bagi memastikan semua pelanggan menerima layanan yang sama tanpa sebarang pengecualian.
“Kalau saya benarkan satu keluarga mendapat pengecualian, pelanggan lain akan mempersoalkan kenapa anak mereka perlu dikira dalam bilangan yang hadir sedangkan keluarga lain tidak.
“Dalam keadaan sekarang, apa sahaja yang berlaku di Rembayung mudah dirakam dan dikongsikan di media sosial. Sebab itu SOP perlu dilaksanakan secara konsisten supaya semua pelanggan menerima layanan yang sama,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Khairul memohon maaf sekiranya pelaksanaan SOP tersebut menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pelanggan.
Katanya, setiap peraturan yang diperkenalkan mempunyai sebab tersendiri dan dibuat demi memastikan pengalaman menjamu selera di restoran itu lebih selamat serta selesa untuk semua.
“Saya bukan buat peraturan sebarangan. Setiap peraturan yang dibuat ada sebabnya dan saya mahu melindungi bayi serta memastikan ibu bapa dapat menikmati pengalaman menjamu selera dengan tenang.
“Saya mohon maaf jika ada pelanggan yang berasa kurang selesa untuk datang ke Rembayung. Doakan supaya kami terus menambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan semua pelanggan berasa selesa,” jelasnya.
Terdahulu, SOP Rembayung menjadi perhatian selepas seorang pelanggan meluahkan rasa kurang senang apabila bayi turut dikira sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.



