Ahmad Aslam, Marissa Dania Sah Bercerai

Pempengaruh, Marissa Dania Hakim sah bercerai dengan suaminya, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Rabu memutuskan mereka bukan lagi pasangan suami isteri.
Keputusan itu dibuat di hadapan Hakim Syarie, Nadiah Khamis selepas prosiding melibatkan pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan oleh Ahmad Aslam.
Peguam syarie yang mewakili Ahmad Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, secara ringkasnya mahkamah memutuskan talak telah jatuh dan hubungan perkahwinan antara kedua-dua pihak telah berakhir.
“Mahkamah membuat beberapa keputusan dari segi terma perundangan namun secara mudahnya boleh dikatakan hakim memutuskan talak telah jatuh.
“Bermakna pada ketika ini, Aslam dan Marissa bukan lagi suami isteri. Jika mereka ingin kembali bersama sebagai pasangan suami isteri, mereka perlu menjalani akad nikah yang baharu,” katanya.
Mengulas reaksi Marissa selepas keputusan dibacakan, Muhammad Ammar berkata anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu dilihat menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka.
Menurutnya, tiada sebarang momen bersalaman atau bermaafan antara pasangan itu berlaku di dalam dewan bicara sejurus keputusan dibuat.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Aslam telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu.
Menurut Muhammad Ammar, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali. Lafaz cerai pertama dibuat pada September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan yang sama.
Bagaimanapun, Aslam sekali lagi melafazkan cerai pada April tahun lalu dan difahamkan mereka kembali rujuk kira-kira dua bulan kemudian.
Kes tersebut akhirnya dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan pengesahan berhubung lafaz cerai dan rujuk yang berlaku sepanjang tempoh perkahwinan mereka.



