Uncle Roger Kini Bergelar Bapa

Pelawak dan pempengaruh asal Malaysia, Nigel Ng atau Uncle Roger kini secara rasmi memasuki fasa baharu sebagai seorang bapa.
Berita tersebut dikongsi Nigel menerusi satu hantaran di Facebook.
“Dan kini kami bertiga,” tulisnya.
Nigel turut mendedahkan bayi mereka telah menghabiskan seminggu di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebelum akhirnya dibenarkan pulang ke rumah.
Bagi Nigel, detik membawa pulang bayi mereka menjadikan sambutan Hari Bapa kali ini lebih bermakna.
“Selepas seminggu di NICU, membawa kamu pulang hari ini adalah Hari Bapa yang paling istimewa,” tulisnya.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang menjaga keluarganya serta membantu membawa kegembiraan tersebut ke dalam kehidupan mereka.
Walaupun berkongsi momen yang cukup menyentuh hati, Nigel tetap tidak melepaskan peluang untuk menyelitkan jenaka ala Uncle Roger.
Menurutnya, dia seolah-olah dapat mendengar suara bapa saudaranya berbisik: “Letak MSG pada bayi, nanti bayi jadi lebih baik, lebih bijak,” kongsi Nigel.
Pengumuman kelahiran bayi itu dibuat kurang setahun selepas Nigel mendirikan rumah tangga dengan Sabrina yang merupakan seorang peguam di Miami.
Pasangan tersebut berkahwin pada 19 Julai 2025.



