Kamal Adli Diserang Perasaan Sunyi Melampau

Pelakon Kamal Adli, 40, mengakui pengalaman diserang perasaan sunyi secara tiba-tiba baru-baru ini menjadi antara detik paling sukar pernah dilaluinya sehingga memberi kesan mendalam terhadap emosinya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli menjelaskan keadaan itu bukan berpunca daripada masalah keresahan melampau atau anxiety seperti yang disangka segelintir pihak.
“Bukan rasa sunyi tetapi hari itu saja tiba-tiba kena serang perasaan tersebut. Saya bukannya ada anxiety.
“Rasa sunyi tiba-tiba muncul dan memang teruk sangat. Waktu itu sudah lewat malam dan tidak ada orang saya nak borak.
“Impaknya, rasa sunyi macam terus serang emosi saya dan memang tak tahu nak gambarkan macam mana pun,” katanya.
Menurut Kamal, perkongsiannya di Threads sebelum ini menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang turut berkongsi pengalaman serta memberikan pandangan untuk membantunya mengatasi keadaan tersebut.
“Ramai cakap pergilah jumpa keluarga, tapi bukan pasal keluarga. Saya cuma tertanya-tanya macam mana kalau orang pernah lalui benda macam itu.
“Saya tak sangka ramai berkongsi pendapat, termasuk mereka yang profesional dan alim ulama.
“Saya baca satu demi satu dan saya boleh kaitkan. Alhamdulillah, saya kembali tenang,” ujarnya.
Kamal berkata, antara perkara pertama yang dilakukannya selepas melalui detik tersebut adalah meluangkan masa bersama anak tunggalnya, Hawra Uqaira yang disifatkan sebagai sumber ketenangan dan kebahagiaannya ketika ini.
“Esoknya saya terus cari Hawra. Bila dapat jumpa dia, saya rasa okey. Saya memang gembira bila bersamanya.
“Bila jumpa dia, saya tak pegang telefon, saya cuma nak luangkan masa dengan dia.
“Saya takut kalau perasaan itu datang lagi sebab saya sendiri tak pernah rasa macam itu sebelum ini.
“Pertama kali dia serang teruk sangat. Itu yang saya jadi macam bongok sekejap,” katanya lagi.



