Yusof Haslam Gantung Shooting Pelakon Wanita Ditahan Disyaki Positif Dadah

Penerbit, Datuk Yusof Haslam, 72, mengambil keputusan menggantung sementara seorang pelakon wanita yang terlibat dalam drama terbitannya selepas individu berkenaan ditahan kerana disyaki positif dadah.
Menurut Yusof, tindakan itu dibuat memandangkan pelakon terbabit sepatutnya menjalani penggambaran pada hari berkenaan, namun keadaan yang berlaku memaksanya mengambil keputusan tersebut.
“Sepatutnya ada ‘shooting’. Tetapi sudah jadi macam ini, saya terpaksa ‘gantung’ dia sementara.
“Memang, kita pun hendak habis ‘shooting’. Kita ‘shooting’ lagi dua minggu akan habis. Jadi, apa yang berlaku itu, biar jadi satu pengajaran.
“Perkara ini polis pun sudah bagi tahu, kita, sebagai pelakon, kalau boleh jangan terlibat dengan dadah dan apa-apa juga perkara negatif,” katanya.
Pada masa sama, Yusof berkata dia sentiasa mengingatkan barisan pelakonnya supaya menjaga tingkah laku, memelihara nama baik diri serta mengelakkan daripada memuat naik kandungan yang boleh mengundang persepsi negatif.
“Kita habiskan ‘shooting’ macam itu sajalah. Maksudnya, pasal kita sudah ‘shooting’ banyak. Babak-babak pun sudah tinggal sikit.
“Kalau tidak ada pun tak jadi masalah. Insya-Allah kita akan habis baki berapa babak saja lagi.
“Kita baru lancarkan (drama), baru hendak siarkan minggu kedua Jumaat ini. Jadi kita sudah nasihat perkara ini. Tetapi, itulah hal ini jadi iktibar untuk kita semua,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi sebuah drama kepolisan terkenal ditahan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine ketika berada di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Pelakon berkenaan ditahan bersama 17 individu lain dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dan kes kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.



