Rita Rudaini Sokong Tindakan Pengerusi MARA Tamatkan Pengajian Pelajar MRSM Yang Terlibat Kes Buli

Pelakon, Rita Rudaini, 48, terpanggil untuk memberi pandangan berhubung kes buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Rita berpendapat, peraturan sekolah yang ketat di institusi pendidikan antara punca mendorong kepada berlakunya gejala buli selain menyebabkan pelajar menjadi tertekan dan bertindak melakukan perkara tidak baik.

“Kadang-kadang peraturan yang ketat, tegas tak tentu fasal boleh buat budak-budak stres dan mula memberontak.

“Mula buat hal, kacau orang, dari seronok-seronok kacau terus kepada ‘buli’. Ada yang tak kacau orang tapi lepaskan stress dengan cara lain, hisap rokok atau vape.

“Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih tapi otak mereka tak secanggih budak-budak zaman dulu.

“Budak-budak dulu nak buat satu benda memang pikir 100 kali sambil terbayang kena libas,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram Story.

Menerusi perkongsian sama, Rita turut menyatakan sokongan dengan tindakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengesyorkan supaya pelajar terlibat dengan kes buli ditamatkan pengajian.

“Yang tak nak belajar sila keluar, yang dah bosan mengajar pun boleh juga keluar.

“Terima kasih Datuk Dr Asyraf, tindakan yang cepat walaupun benda jadi tahun lepas, pihak maktab tak patut sorok atau ambil ringan,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, tular sebuah video dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang yang memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.

Mangsa turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada tindakan tersebut adalah satu gurauan atau perbuatan buli.

Related post

Leave a Reply