Hari Raya Paling Suram Buat Sharnaaz Ahmad
Pertama kali menyambut hari raya tanpa sosok seorang bapa, pelakon, Sharnaaz Ahmad, 39, menyifatkan Aidilfitri tahun ini paling suram dan tidak bermakna buat dirinya.
Menurut Sharnaaz, dia langsung tidak merasai kemeriahan dan nikmat hari raya kerana masih terkesan dengan pemergian arwah bapa, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad yang meninggal dunia pada November tahun lalu.
“Ini adalah tahun pertama saya beraya tanpa ayah. Saya memang tak sambut raya tahun ini, rasa dan nikmat raya itu langsung tiada. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya.
“Pagi satu Syawal saya bangun dalam keadaan yang tidak berapa fokus, saya mandi bersiap untuk pergi solat raya kemudian balik jamah makanan. Rasa nak habis cepat je masa satu Syawal hari itu,” katanya yang ditemui di majlis tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga, pada Isnin.
Dalam pada itu, Sharnaaz memberitahu, dia langsung tidak menitiskan air mata sepanjang pada pagi 1 Syawal kerana fasa meratapi pemergian arwah bapa sudah dilalui pada hari ke-40 figura itu meninggal dunia.
“Saya tak menangis pun pada hari pada 1 Syawal lalu. Kali terakhir saya menangis pada hari ke-40 bapa saya meninggal dunia. Waktu itu saya memang gagal mengawal diri.
“Walaupun pada hari itu saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, tapi entah kenapa tiba-tiba seperti ada sesuatu yang mengingatkan dan terus rasa sejuk satu badan sehingga tak boleh nak mengawal emosi,” tambahnya.
Sementara itu, aktor kelahiran Pulau Pinang itu turut memakai jam tangan milik arwah bapanya pada majlis tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga kerana mahu merasakan arwah sentiasa dekat dengannya.
“Saya pakai jam milik bapa pada majlis ini. Buat kali pertama saya baru buka bungkusan jam ini daripada tisu hospital dan saya percaya dia ada bersama saya hari ini,” tuturnya.
Sekadar info, bapa Sharnaaz menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 78 tahun pada 27 November 2024.