Putus Tunang Episod Paling Hitam Dalam Sejarah Hidup Elfira Loy

PELAKON, Elfira Loy, 31, menyifatkan pengalaman putus tunang pada tahun 2018 sebagai episod paling gelap dalam hidupnya selain memberi kesan kepada diri.

Hanya mampu mengunci mulut sejak isu itu hangat diperkatakan, pemilik nama lengkap Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, berkata, reputasinya sebagai anak seni juga terjejas.

“Kejadian putus tunang merupakan satu perkara yang sangat berat, saya tak sangka orang boleh buat saya seperti itu. Ketika isu sedang hangat, saya tak langsung buka mulut.

“Malah wartawan temu bual, saya hanya diam sahaja, tak pernah cakap apa-apa. Itu perkara terbesar yang berlaku dalam kehidupan saya.

“Sepanjang saya berlakon, saya tidak pernah terpalit dengan gosip seperti itu. Disebabkan kontroversi itu juga orang hilang hormat terhadap saya.

“Apa yang saya pertaruhkan untuk menjaga nama baik sebelum ini, terus bertukar menjadi sia-sia,” kongsinya dalam sebuah saluran podcast.

Enggan menyalahkan takdir yang sudah tertulis, Elfira bagaimanapun reda dan menganggap apa yang telah terjadi mempunyai hikmah.

Tuturnya lagi, insiden itu juga menjadi titik tolak untuk dia memperbaiki diri ke arah kebaikan dan mendekati Allah.

“Lama-lama saya fikir mungkin ada hikmah di sebalik yang terjadi. Hikmah yang saya dapat adalah tidak ada tempat lain yang ingin dituju. Jadi, saya banyak menghabiskan masa di masjid.

“Itu menjadi titik perubahan dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, perjalanan selepas itu saya nampak Allah bagi semua yang saya nak cuma satu saja tidak dapat,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply