Pengarah Kongsi Kejadian Seram Penggambaran Mantera

BEBERAPA insiden pelik berlaku ketika penggambaran filem Mantera telah memberikan pengalaman baharu buat kesemua pelakon dan kru yang terlibat. Meskipun ada yang sukar mempercayai apa yang sedang berlaku, perkara itu tetap dihadapi dengan tenang.

Menurut pengarah Mantera, Chaster Pang, beberapa insiden aneh sangat mengejutkan namun mereka tetap bertahan demi untuk menyelesaikan penggambaran.

“Ada kru kami terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya seperti ditarik sesuatu yang disaksikan beberapa pelakon lain yang berada di situ.

“Lagi satu ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya, ada pelakon utama wanita dan seorang pelakon pembantu wanita telah dirasuk.

“Untungnya insiden itu berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang secara kebetulan berada di lokasi penggambaran,” dedahnya.

Biarpun berhadapan dengan cabaran dan kejadian yang menyeramkan, Chester memberitahu filem arahannya itu wajar ditonton apabila ia mula ditayangkan di pawagam mulai 24 April ini.

Mantera merupakan kisah seram yang dikaitkan dengan sesuatu kaum, terutama sekali di negeri seperti Sabah agak jarang dipaparkan. Kisah yang diangkat berkait rapat dengan amalan kuno dan masih lagi diamalkan sehingga sekarang.

Menariknya kisah tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ (bomoh) yang begitu sinonim dalam kalangan kaum Dusun terbitan syarikat Pro Merge Vision Sdn. Bhd menjadi tema utama yang diangkat.

Pelnagai kisah mistik terjadi sepanjang penggambaran Mantera berlangsung.

Chester Pang berkata, Mantera adalah inspirasi daripada kisah ‘Bobolian’ dan dia berasa terpanggil untuk berkongsi dengan orang ramai tentang kewujudan amalan tradisi lama kaum Dusun di Sabah yang kini sudah jarang diamalkan.

“Boleh dikatakan tidak ramai mengetahui tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ sebagai ketua adat serta menjadi perantara dan pengimbang antara dua alam iaitu alam nyata (manusia) dan ‘kinohiringan’ (dewa).

“Jadi, saya merasakan kisah mengenai Bobolian atau bomoh kaum Dusun ini agak menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem,” ujarnya.

Mantera menampilkan barisan pelakon popular iaitu Syafie Naswip dan Namron serta pelakon kelahiran Sabah seperti Jovenia Jim, Wedylin Batala dan Larry Noh.

Chester berkata, Mantera adalah sebuah filem mengisahkan tentang penyiasatan mengenai satu kes pembunuhan yang berkait rapat dengan amalan ‘Bobolian’.

Ujarnya lagi, filem terbaharu arahannya itu bukan sekadar sarat dengan babak seram sahaja, malah turut memaparkan ritual-ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ serta menunjukkan elemen roh jahat dalam norma kehidupan masyarakat.

Untuk rekod, penggambaran Matera berlangsung pada Februari 2024 di Tambunan, Apin-Apin dan Kota Belud, Sabah.

Jelasnya, Mantera bukan sekadar naskhah seram semata-mata, tetapi ia membawa naratif yang berbeza apabila ia menonjolkan amalam tradisi kaum Dusun yang mungkin tidak diketahui ramai.

“Filem ini menggabungkan elemen seram dan mistik bertemakan budaya masyarakat di Sabah yang jarang dipaparkan, jadi ia antara tarikan untuk menontonnya.

“Selaku penerbit juga harapan saya pastinya mahukan filem ini dapat diterima ramai dan mendapat kutipan pecah panggung,” ujarnya.

Related post

Leave a Reply