Ibu Menyesal Benarkan Anak Belajar Ke Luar Negara

SEORANG pelajar dari China, Li Bowen mengambil keputusan menamatkan nyawanya sendiri di Malaysia selepas dimanipulasi oleh sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa China.

Kejadian itu berlaku pada 22 Mac, hanya lima hari selepas dia tiba di negara ini untuk menyambung pengajian.

Laporan mendedahkan bahawa Li telah dihubungi oleh individu yang mendakwa sebagai ‘polis China’ dan menuduhnya sebagai suspek utama dalam kes jenayah yang melibatkan pembunuhan.

Li kemudian diberitahu untuk membayar wang sebanyak RMB 258,000 (RM156,753) untuk membuktikan dia tidak bersalah.

Percaya dia telah menyebabkan kematian seseorang, Li dilaporkan menjadi terganggu secara emosi. Disebabkan tidak dapat menahan tekanan dan bimbang bakal memalukan atau membahayakan keluarganya, dia melompat dari tingkat 39 apartmen yang disewanya di Selangor.

Bercakap kepada China Press, ibu Li menyatakan kekesalan yang mendalam kerana menghantar anak perempuannya itu ke luar negara.

Dia berkata, pada mulanya mereka percaya belajar di Malaysia akan menjamin masa depan yang lebih baik untuk Li. Namun kini, dia berharap yang mereka tidak pernah membuat keputusan itu.

“Tiada yang lebih penting daripada nyawa anak perempuan saya.

“Jika saya boleh melakukannya sekali lagi, saya tidak benarkan dia keluar rumah, walaupun dia tidak mempunyai pendidikan,” katanya.

Kedua-dua ibu bapa Lini berkata, mereka tidak akan mengesyorkan pendidikan luar negara selepas kehilangan yang menyakitkan ini, menekankan bahawa keselamatan lebih penting daripada kejayaan akademik.

Ibu bapa Li tiba di Malaysia pada 23 Mac lalu dan cuba membuat laporan polis dua kali tetapi tidak berjaya kerana kekangan bahasa selain tidak biasa dengan prosedur tempatan.

Namun, pada 26 Mac lalu, mereka berjaya membuat laporan ketiga di balai polis dengan bantuan wartawan tempatan.

Ibu Li juga menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu dari sudut jenayah.

“Kami tidak boleh membiarkan anak perempuan kami mati sia-sia. Kami berharap undang-undang akan menghukum mereka yang terlibat dan membersihkan namanya,” kata ibu Li lagi.

Related post

Leave a Reply