Perompak Samun Kim Kardashian Di Paris 9 Tahun Lalu Bakal Dibicara

Akhirnya, selepas hampir sepuluh tahun, perompak yang bertanggungjawab mencuri barang kemas bernilai jutaan dolar milik usahawan dan bintang realiti popular, Kim Kardashian ketika dia berada di Paris, Perancis bakal dibicarakan akhir bulan ini.

Peguam Kim, Michael Rhodes berkata, anak guamnya itu Kim bakal memberi keterangan secara peribadi pada perbicaraan berkenaan yang dijadual bermula 28 April 2025 di Amerika Syarikat (AS).

Seramai 10 suspek akan dibawa ke kandang pertuduhan dengan keputusan perbicaraan dijangka bakal disebut pada 23 Mei depan.

Difahamkan, nilai rompakan tersebut adalah sekitar AS$11.4 juta (RM50.2 juta). Ketika kejadian, Kim berada di Paris untuk menghadiri minggu fesyen pada 2016.

Antara suspek yang ditahan empat bulan kemudian di Paris dan selatan Perancis termasuk Aomar Ait Khedache, 68, dikenali sebagai ‘Omar Tua’. Lelaki itu mengaku turut serta dalam rompakan tetapi menafikan tuduhan dia ketua kumpulan penyamun tersebut.

Pada malam 2 hingga 3 Oktober 2016, sebilangan lelaki dengan sesetengah mereka menyamar sebagai anggota polis, masuk ke hotel penginapan Kardashian. Mangsa ketika itu berusia 35 tahun.

Kim pada waktu itu menghadiri pertunjukan fesyen Givenchy sebelum kembali ke hotel sekitar tengah malam tanpa pengawal peribadi. Pada waktu sama, kakaknya, Kourtney Kardashian sedang berhibur di kelab malam.

Dua perompak itu kemudian mengacukan pistol di kepala Kim dan meminta dia menyerahkan cincin berliannya. Cincin itu dianggarkan bernilai AS$4 juta (RM17.6 juta).

Perompak-perompak itu kemudian mengikat Kim,menutup mulutnya dan membawa Kim ke bilik air.

Keseluruhan rompakan itu mengambil masa hanya 10 minit.

Related post

Leave a Reply