Diana Danielle Tujukan ‘Raja Dusta’ Untuk Pasangan Toksik

Penyanyi dan pelakon, Diana Danielle, tampil dengan buah tangan terbaharu dengan melancarkan lagu berjudul “Raja Dusta”.

Lagu tersebut merupakan sebuah karya penuh keberanian dan sindiran nakal yang memberi ruang untuk wanita dan lelaki meraikan kebebasan selepas melepasi hubungan toksik.

Diana berkata, lagu ini adalah cerminan kepada kekuatan wanita yang sering terperangkap dalam budaya misoginis yang menjadikan mereka mangsa penderitaan secara senyap.

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang. Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, ia bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik.

“Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri.

“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah.

“Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring,” katanya.

Berkongsi lanjut, Diana berkata, proses rakaman “Raja Dusta” berjalan dengan penuh keseronokan walaupun ini adalah kali pertama bekerjasama dengan penerbit, John Jeeves.

“Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa.

“Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik,” katanya lagi.

“Raja Dusta” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital dan muzik videonya boleh ditonton di YouTube.

Related post

Leave a Reply