Penumpang E-Hailing Terkedu Diminta Bayar Lebih Kalau Nak Guna Pendingin Hawa
Seorang wanita meluahkan rasa kurang senang terhadap pemandu sebuah kenderaan seru pandu dari sebuah syarikat e-hailing popular baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, wanita berkenaan mendakwa pemandu tersebut menegurnya selepas dia membuka pendingin hawa pada bahagian belakang ketika dalam kenderaan berkenaan.
Ketika cuba menghidupkan penghawa dingin berkenaan, pemandu tersebut menegurnya: “Kalau cik buka aircond tu, dah harga macam 6 seater,” kata pemandu berkenaan.
Penumpang itu kemudian hanya berdiam diri. Namun, pemandu tadi menghubungi khidmat pelanggan Grab melalui pembesar suara dan mengadu dengan nada marah mengenai tambang yang dikatakan terlalu murah untuk waktu puncak.
Pemandu itu turut mempersoalkan sistem pembayaran Grab, dengan mendakwa dia hanya menerima RM19 daripada tambang penuh RM32 yang dibayar penumpang.
Situasi antara penumpang menjadi tidak selesa, memandangkan pemandu itu menyatakan yang bayaran tersebut tidak termasuk kos penggunaan pendingin udara penuh.
Sudah tentu, insiden ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Antaranya, ada yang berpendapat aduan perlu dibuat secara dalaman tanpa pengetahuan penumpang.
Selain itu, netizen turut mengingatkan pemandu Grab mempunyai pilihan untuk membatalkan tempahan sekiranya tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan, tanpa perlu melepaskan kemarahan kepada penumpang yang tiada kuasa menetapkan harga.