Keluarga Fattah Amin Restu Hubungan Dengan Amira Othman

DILIHAT semakin terbuka berkongsi keakraban, pelakon, Fattah Amin, 35, memberitahu bahawa keluarganya merestui hubungan baiknya dengan penyanyi, Amira Othman.

Menurut pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin, keluarganya terutama ibu sudah pun beberapa kali bersemuka dengan pelantun lagu ‘Hati-Hati’ itu.

“Amira sudah banyak kali berjumpa dengan keluarga saya, keluarga merestui. Keluarga gembira melihat saya berkawan dengan Amira,” katanya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.

Mengakui selesa berkawan dan bekerja dengan Amira, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu bagaimanapun tidak berani untuk berkongsi lanjut, sebaliknya meminta doa yang baik daripada orang ramai.

“Kami berdua sangat selesa apabila bekerjasama, dia seorang rakan artis yang baik. Tapi nak cakap lebih pun saya tidak berani.

“Apa yang saya boleh katakan, kami sangat serasi dan rapat sebagai teman kerja,” ungkapnya lagi.

Dalam pada itu, Fattah memberitahu Amira ada memaklumkan kepadanya untuk berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah.

“Dia akan ke sana (Makkah), dia pergi waktu yang sangat cantik iaitu pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Waktu saya pergi umrah sebelum ini pun saya doakan untuk dia,” tambahnya.

Related post

Leave a Reply