Selepas Empat Dekad Lagu ‘Bersama Di Hari Raya’ Dendangan Cenderawasih Terus Berkumandang

Hampir empat dekad selepas diterbitkan, lagu Bersama Di Hari Raya kekal sebagai satu daripada lagu perayaan yang digemari di Malaysia, membangkitkan kenangan indah suasana sambutan setiap Aidilfitri dalam perpaduan.

Walaupun ramai pendengar mungkin menyangka bahawa lagu itu dinyanyikan oleh artis Melayu, namun penyampaian yang tulus dengan susunan kata yang indah dan bermakna itu sebenarnya adalah karya pemuzik India Malaysia yang berbakat.

Dirakam pada 1985, lagu itu dipersembahkan oleh adik beradik Helen Savari, 62, dan Irene Savari, 61, yang membentuk pasangan duet Cenderawasih.

Irene berkata lagu Bersama Di Hari Raya ditulis dan digubah oleh Syed Haron untuk album kompilasi Hari Raya EMI Malaysia, diterbitkan oleh Allahyarham Datuk S. Atan.

“Ketika itu Cenderawasih semakin mendapat pengiktirafan susulan kejayaan album sulung kami, Sepanjang Perjalanan Ini, yang mencapai status emas pada 1984… Kami berasa berbesar hati dan bertuah kerana diberi peluang menyanyikan lagu raya walaupun bukan beragama Islam.

“Apabila kami terima nota muzik dan lirik di studio rakaman, kami berusaha mengharmonikan vokal kami dan merakamkannya. Kami menyanyi dengan iringan piano, gitar bes dan dram. Selepas vokal kami dirakam, Datuk Atan menambah lagi instrumentasi dan menghasilkan lagu serta album itu,” katanya kepada Bernama.

Sejak dikeluarkan, Irene yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) berkata lagu itu kekal menjadi kegemaran semasa sambutan Hari Raya, dengan ramai pendengar tidak mengetahui asal usulnya.

“Kami sering mendengar daripada generasi muda yang terperanjat apabila mengetahui bahawa kami adalah penyanyi asal. Mereka menjangka ia dipersembahkan oleh artis Melayu, dan kenyataan ini jelas membuktikan bahawa bahawa muzik merentasi sempadan kaum dan budaya,” katanya sambil menambah Helen kini menetap di Zurich, Switzerland.

Lagu Bersama Di Hari Raya kekal menjadi kegemaran ramai setiap kali tibanya Aidilfitri.

Irene berkata ramai peminat lama mengingati 1980-an sebagai waktu ketika penglibatan pelbagai budaya di Malaysia adalah lumrah kehidupan seharian.

“Muzik adalah ikatan kukuh yang menyatukan kami, dan kami berasa rendah hati kerana lagu ini terus menyatukan orang ramai,” katanya.

Dengan populariti berterusan lagu itu, Irene berharap ia akan terus dapat memupuk perpaduan, dan menggalakkan rakyat Malaysia menghayati semangat kebersamaan semasa Hari Raya.

“Sekiranya diberi peluang, saya dan Helen ingin merakamkan lagu Raya baharu atau versi rekaan semula Bersama Di Hari Raya untuk peminat kami, baik yang muda mahupun tua,” katanya.

Selain Cenderawasih, ada juga beberapa artis bukan Melayu yang telah menyanyikan lagu malar segar yang menjadi ‘lagu wajib’ didendangkan pada Hari Raya.

Lagu-lagu seperti Menjelang Hari Raya dan Meriah Syawal dendangan Datuk DJ Dave, lagu Berita dari Rantau dan Hari Raya Gemilang dendangan Alleycats kekal menjadi pujaan ramai menggamit memori indah Hari Raya, terus menusuk kalbu, bersemadi dalam sanubari.

Artis Cina seperti 3P (Syawal Berseri), 1119 Dance House Crew (Raya Ria), dan Douglas Lim (Aidilfitri Di Malaysia) turut menambah sentuhan kreatif mereka sendiri, memperkayakan senario muzik Raya Malaysia.

Kehadiran mereka menyerlahkan semangat inklusif Aidilfitri di Malaysia, dengan muzik merentasi kaum menyatukan orang ramai melalui sambutan dan perkongsian kegembiraan bersama. – BERNAMA

Related post

Leave a Reply