Karya P. Ramlee Jadi Inspirasi Mencari Ramlee

SETELAH 51 tahun pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, pengaruh dan jasa yang ditinggalkan kepada industri begitu besar.

Karya yang dihasilkan terus menjadi rujukan penggiat seni di Malaysia termasuklah pengarah Megat Sharizal yang mengambil inspirasi untuk menghasilkan filem Mencari Ramlee.

Filem yang dihasilkan atas minat mendalam pengarah berkenaan terhadap karya Seniman Agung tersebut bakal menemui penonton bermula 19 Jun hadapan.

“Untuk beberapa tahun, saya dibesarkan oleh datuk dan nenek semasa zaman kanak-kanak. Mereka mempunyai koleksi filem Tan Sri P. Ramlee dalam bentuk VHS ataupun pita video.

“Secara tidak langsung, itulah pendedahan pertama saya kepada filem dan kepada P. Ramlee sendiri,” kata Megat Sharizal.

Dia berkata demikian ketika sempena majlis pelancaran Mencsei Ramlee yang diadakan pada 22 Mac lalu sempena tarikh kelahiran seniman berkenaan.

Naskhah ini bercerita tentang Zakaria, seorang peniru gaya P. Ramlee yang mempunyai masalah kewangan dan mempunyai kesukaran untuk mendapat kerja kerana populariti seniman berkenaan yang sudah merudum ketika itu.

Dia juga mempunyai seorang adik iaitu Yasmin yang masih belajar di universiti dan Zakaria terpaksa berhutang dengan seorang gangster tempatan iaitu Yusuf demi menyara kehidupan mereka.

Satu hari, Zakaria dibawa ke rumah Yusuf untuk menyelesaikan hutang-hutangnya. Namun di situ dia bertemu kakak kepada Yusuf iaitu Zaiton. Zaiton yang menghidapi penyakit amnesia, berfikiran bahawa dia masih lagi hidup dalam tahun 50-an.

Zaiton menyangka bahawa Zakaria adalah P. Ramlee yang sebenar. Lalu Yusuf menggunakan peluang itu untuk membahagiakan kakaknya. Zakaria harus berlakon menjadi P. Ramlee dan segala hutang piutangnya langsai.

Mencari Ramlee bakal ditayangkan pada 19 Jun hadapan.

“Filem ini diinspirasikan oleh filem-filem Tan Sri P. Ramlee. Ianya mempunyai pelbagai adegan yang menjadi penghormatan kepada karya beliau.

“Dulu saya pernah bercita-cita untuk membuat filem biografi. Tapi saya sedar terlalu banyak kekangan jika mahu merealisasikan filem biografi dan membuat keputusan untuk menghasilkan filem fiksyen, namun tetap menggunakan P. Ramlee sebagai subjek utama,” jelasnya lagi.

Mencari Ramlee mempertaruhkan pelakon popular tanah air termasuklah Tony Eusoff Sofia Jane, Mimi Lana, Megat Sharizal, Han Zalini dan Abi Madyan.

Beberapa pelakon lain turut membuat penampilan istimewa termasuklah Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Anas Ridzuan, Bront Palarae, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah dan Vanidah Imran.

Menariknya, filem yang diterbitkan oleh Playground Film Sdn Bhd turut menjadi salah sebuah filem pilihan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ataupun International Film Festival Rotterdam (IFFR).

Related post

Leave a Reply