Gayong Angkat Seni Bela Diri Ke Layar Perak

MENGAMBIL inspirasi daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), filem Gayong antara naskhah paling ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar peminat seni mempertahankan diri tersebut.

Pengarahnya, Faisal Ishak berkata, dia yakin filem berkenaan adalah antara naskhah aksi yang ditunggu dan berharap penonton dapat menyelusuri inti pati kisah yang ingin disampaikan kepada semua.

“Saya merasakan Gayong tidaklah sekadar filem aksi semata-mata, tetapi ia juga platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.

“Apabila menghasilkan filem ini, saya ingin penonton bukan sahaja menikmati aksi yang mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerak dan langkah serta pengorbanan dalam dunia persilatan,” ujarnya.

Mengenai pembabitannya dalam penerbitan filem Gayong ini, Faisal mengakui menghasilkan sebuah cerita yang diinspirasikan daripada kisah seorang tokoh persilatan terkemuka bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, cabaran yang dihadapi bukan sekadar dalam aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.

“Sebagai pengasas seni silat Gayong, arwah bukan sahaja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan.

“Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat, perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan seni silat Gayong,” ujarnya.

Bagi memastikan filem Gayong dihasilkan dengan lebih mantap, Faisal memberitahu setiap barisan pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi iaitu Yayan serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman.

Menurutnya, ia adalah langkah penting bagi memastikan setiap gerakan, teknik, dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap warisan tersebut.

Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong,” ujarnya.

Gayong bakal menemui penonton 8 Mei hadapan.

Pada masa sama, pengarah berkenaan mahu filem arahannya itu menjadi satu penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga.

“Secara jujurnya, saya berbesar hati dapat menerajui sebuah filem yang diinspirasikan dari kehidupan satu legasi, satu perjalanan yang menghubungkan sejarah dan semangat juang,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip berkata, untuk menerbitkan filem berkenaan, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada ahli keluarga ADMAR sendiri terutama anak perempuan dan cucu arwah.

Jelasnya, mereka telah mula kerja penyelidikan sejak bulan Disember 2023 dan berhubung dengan beberapa pihak untuk mendapatkan nasihat sehingga dipertemukan dengan waris kerabat keluarga ADMAR iaitu Hajah Fadzilah (anak) dan Zubaidah Hussin (cucu).

“Kami juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang diterajui oleh Yang Di-Pertua Leftenan Jeneral (B) Dato Pahlawan Mohd Razif Idris dan juga Setiausaha Agung, Saudara Akramin Zikri Ali.

“Pihak PSSGM sentiasa berhubung dengan kami dalam segala urusan produksi termasuklah memberikan khidmat nasihat dengan menghantar beberapa ahli pertubuhan silat gayong sendiri ke lokasi untuk memastikan aksi persilatan yang dilakukan tidak tersasar dari gerak seni silat gayong itu sendiri,” jelasnya.

Bakal ditayangkan bermula 8 Mei hadapan, Gayong dibintangi oleh Beto Kuayairi, Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

Related post

Leave a Reply