Kamal Adli Nafi Curang, Hadiahkan Telekung Untuk Pujuk Uqasha Senrose

Kamal Adli Nafi Curang, Hadiahkan Telekung Untuk Pujuk Uqasha Senrose

Pelakon, Kamal Adli, 39, menegaskan tiada pihak ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama isteri, aktres Uqasha Senrose.

Menurut Kamal, segala yang berlaku bukan kerana kecurangan, sebaliknya ujian dalam perkahwinan yang masih cuba dipertahankan.

“Paling penting, saya nak beritahu di sini, saya tak curang. Saya tak ada orang lain. Saya hanya ada dia dan anak sahaja,” ujarnya.

Kamal, turut menafikan dakwaan berlaku kekerasan dalam rumah tangga. Katanya, meskipun diuji, kasih dan sayangnya terhadap Uqasha tidak pernah pudar.

“Saya sayang dia. Itu yang paling penting,” tambahnya ringkas.

Dalam masa sama, pelakon filem Abang Long Fadil itu mengakui sudah hampir sebulan tidak berhubung dengan isterinya selepas disekat di telefon dan media sosial.

“Kami dah lama tak berjumpa. Terus terang, saya sangat merindui isteri saya. Agak lama juga, sejak dia menyekat saya,” luah Kamal dengan nada sebak.

Difahamkan, Uqasha kini tinggal bersama ibunya, manakala Kamal masih berharap hubungan mereka dapat diselamatkan.

Dalam usahanya memulihkan keadaan, Kamal mengakui pernah menghadiahkan sepasang telekung kepada Uqasha sebagai tanda kasih dan niat untuk memujuk.

Namun, hasratnya untuk bertemu dan berbincang terhalang selepas menerima surat daripada peguam Uqasha yang melarangnya mendekati aktres itu buat sementara waktu.

“Saya dapat surat yang mengatakan jangan ganggu anak guam dia. Jadi saya hormat ‘cooling period’ itu. Tapi kalau saya, memang saya mahu,” jelasnya.

Menurut peguam Kamal, Abdul Hadi Mohammad Salleh, pihaknya juga telah menghantar surat rasmi untuk meminta pertemuan antara kedua-dua belah pihak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sementara itu, Uqasha, 33, memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai kemelut rumah tangganya dan menyerahkan segala urusan kepada peguamnya, Muhammad Syazmee Sapian.

“Apa-apa pun, saya serahkan semuanya kepada peguam saya,” katanya ringkas.

Menurut Syazmee, pihaknya menghormati proses mahkamah dan berharap agar keputusan terbaik dapat dicapai sama ada menuju ke arah perdamaian atau sebaliknya.

“Tiada siapa berkahwin dengan niat untuk bercerai. Kita doakan yang terbaik untuk kedua-dua pihak, moga ada kebaikan yang boleh dicari dalam kes ini,” ujarnya.

Prosiding perceraian pasangan ini dijadualkan bersambung pada 19 November depan selepas peguam lama Uqasha menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.

Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan.

Related post

Leave a Reply