Ina Naim Benarkan Hadie Berlakon, Letak Syarat Tiada Babak Bersentuhan
Penyanyi Ina Naim, 41, membenarkan anak sulungnya, Hadie Elfardie menceburi bidang lakonan namun dengan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
Menurut Ina, dia memberi keizinan untuk Hadie membintangi sebuah naskhah terbitan Jaja Ishak Channel kerana cukup mengenali penerbit berkenaan.
“Saya benarkan Hadie berlakon sebab saya kenal Jaja lebih 10 tahun dan dia juga kawan baik arwah suami.
“Jadi saya percaya dan yakin dengan cara kerjanya. Tapi saya tetap tetapkan syarat tiada babak bersentuhan atau yang tidak sesuai,” katanya.
Tambah Ina, tawaran lakonan yang diterima Hadie hanyalah untuk sebuah filem pendek berjudul Antara Dua Darjat yang menggandingkannya dengan Qadejah El Zahra iaitu anak kepada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri.
Jelas Ina lagi, dia sentiasa menemani Hadie di lokasi penggambaran dan tidak pernah membiarkan anak sulungnya itu bekerja sendirian.
“Buat masa ini Hadie masih sibuk memenuhi undangan nyanyian. Alhamdulillah, rezekinya makin banyak dan bidang lakonan ini sekadar peluang untuk dia mencuba sesuatu yang baharu.
“Fokus utama Hadie tetap pada nyanyian. Dia sebenarnya sudah ada lagu bergenre pop kerohanian untuk dirakam, tapi belum sempat ke studio kerana terlalu sibuk,” ujarnya lagi.
Selain menguruskan karier Hadie, Ina turut memberi tumpuan kepada anak keduanya, Salman yang kini menunjukkan minat terhadap dunia seni.
“Ada masa saya bawa Salman ikut sekali ke persembahan Hadie. Saya tak halang anak-anak ceburi bidang ini, asalkan mereka tahu menjaga diri dan batas pergaulan,” katanya.
