Hanya 1 Daripada 10 Pekerja Malaysia Gaji RM9,200 Ke Atas, Jurang Pendapatan Masih Ketara
Menurut kemas kini gaji terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hanya seorang daripada setiap sepuluh pekerja di Malaysia memperoleh gaji RM9,200 atau lebih sebulan.
Sebaliknya, 10 peratus kumpulan terbawah hanya membawa pulang RM1,664 atau kurang, sekali gus menunjukkan jurang pendapatan yang ketara dalam tenaga kerja negara.
DOSM turut melaporkan bahawa 10.4 peratus pekerja formal menerima gaji bawah RM1,700 pada Jun 2025, namun angka ini menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, kumpulan berpendapatan tertinggi masih memperoleh pendapatan lima kali ganda lebih tinggi berbanding kumpulan berpendapatan terendah.
Bagi Jun 2025, gaji bulanan median negara mencatat peningkatan tahunan (YoY) sebanyak 4.3 peratus, manakala jumlah pekerja formal meningkat 3.5 peratus kepada 6.97 juta orang.
Pertumbuhan gaji median bulanan mengikut bulan adalah seperti berikut:
April 2025: +3.6 peratus
Mei 2025: +5.4 peratus
Jun 2025: +4.3 peratus
Berdasarkan jantina pula, sebanyak 55.1 peratus (3.84 juta) pekerja lelaki menerima gaji median sebanyak RM2,900 dan 44.9 peratus (3.13 juta) pekerja wanita menerima gaji median sebanyak RM2,800.
Semua kumpulan umur turut merekodkan peningkatan gaji, antaranya:
Bawah 20 tahun: pertumbuhan tertinggi, gaji median RM1,700 (naik 13.3 peratus)
Umur 45–49 tahun: gaji median tertinggi keseluruhan pada RM3,800
Laporan itu turut mendedahkan sektor perlombongan dan kuari mencatat kadar pertumbuhan gaji tertinggi (10.2 peratus) dengan gaji median RM6,500, manakala sektor pertanian mencatat kadar pertumbuhan terendah (10 peratus) dengan gaji median RM2,200.
Hanya tiga negeri melepasi median gaji kebangsaan RM2,864:
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – RM4,064
Selangor – RM3,145
Pulau Pinang – RM2,927
Manakala negeri dengan median gaji terendah ialah:
Kelantan – RM1,764
Perlis – RM1,800
Sabah dan Kedah – RM2,000
