“Apa Yusuf Bahrin Cakap Saya Setuju 100 Peratus”
Pelakon, Scha Alyahya, 43, mengakui kehidupan sebagai anak seni tidak seindah yang disangka ramai meskipun sering dilihat dipenuhi kemewahan dan populariti.
Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, di sebalik glamor yang dipamerkan kepada umum, terdapat pelbagai cabaran dan tekanan yang perlu ditanggung oleh golongan selebriti.
Malah, Scha berkata filem terbaharu lakonannya berjudul Kata Hati turut mengetengahkan realiti sebenar kehidupan seorang artis yang jarang diketahui masyarakat.
“Kalau ada satu filem yang bakal keluar nanti iaitu Kata Hati, mesej dalam filem itu lebih kurang mengenai perkara sama.
“Orang selalu nampak kehidupan selebriti dari sudut luaran sahaja, sedangkan pada akhirnya ini hanyalah satu pekerjaan biasa yang ada turun naik dan cabaran tersendiri.
“Bukan sahaja penat di belakang tabir, tetapi kami juga perlu berdepan dengan ekspektasi masyarakat dan kadang-kadang keluarga sendiri turut terkena tempias,” katanya.
Menurut Scha lagi, tekanan sebagai anak seni kadangkala menjadi lebih berat apabila setiap gerak-geri sentiasa diperhatikan dan dinilai orang ramai.
“Kadang-kadang benda itu memang berat untuk ditanggung sebab bukan kita seorang sahaja yang terkesan, tetapi ahli keluarga juga,” ujarnya.
Scha berkata demikian sebagai mengulas perkongsian pelakon Yusuf Bahrin yang sebelum ini tampil berkongsi realiti sebenar kehidupan anak seni di Malaysia.
Katanya, dia memahami luahan Yusuf kerana industri hiburan tempatan memerlukan para penggiat seni bekerja lebih keras demi memastikan kelangsungan kerjaya mereka.
“Apa yang Yusuf Bahrin cakap itu saya setuju 100 peratus sebab industri kita kecil.
“Kalau di Hollywood, ada pelakon yang hanya buat satu filem setahun dan mereka sudah boleh hidup selesa. Tetapi di Malaysia, kita bukan hanya berlakon.
“Kita juga kena buat promosi, pemasaran, posting media sosial dan macam-macam lagi. Itu yang orang ramai kadang-kadang tak nampak,” katanya lagi.
Tambah Scha, dia memahami ada segelintir pihak yang memandang kerjaya artis sebagai pilihan sendiri, namun setiap pekerjaan tetap mempunyai cabaran tersendiri.
“Ada yang cakap, ‘siapa suruh jadi artis’. Kita faham pandangan itu, tetapi semua orang ada kesusahan dan cabaran masing-masing.
“Bukanlah kami mahu membandingkan kesusahan dengan orang lain atau tidak bersyukur dengan rezeki yang ada,” katanya.
Terdahulu, Yusuf Bahrin berkongsi mengenai realiti kehidupan sebenar seorang pelakon yang menurutnya jauh lebih mencabar daripada tanggapan umum.
Yusuf berkata, ada hari anak seni perlu berada di lokasi penggambaran seawal jam 5 pagi dan hanya pulang selepas tengah malam demi menyelesaikan tuntutan kerja.



