Peguam Uqasha Senrose Tarik Diri, Hakim Beri Amaran
Kes perceraian antara pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa terpaksa ditangguhkan selepas peguam yang sepatutnya mewakili Uqasha tidak hadir ke mahkamah.
Peguam syarie yang mewakili Kamal iaitu Abdul Hadi Mohammad Salleh, memaklumkan prosiding kali ini hanya berjalan sebelah pihak berikutan peguam Uqasha yang sebelum ini telah menarik diri daripada kes berkenaan.
“Kami dimaklumkan peguam yang mewakili Uqasha sebelum ini menarik diri dan peguam baharu pula tidak hadir seperti dijangka. Maka prosiding hari ini diteruskan hanya melibatkan pihak kami,” katanya.
Menurut Abdul Hadi lagi, pihak mahkamah memberikan peluang serta amaran kepada Uqasha supaya hadir pada tarikh seterusnya bersama peguam bagi membolehkan kes diteruskan.
“Hakim memberi amaran dan peluang terakhir agar pihak Uqasha hadir bersama peguam pada sebutan semula nanti, bagi menentukan hala tuju kes ini,” ujarnya lagi.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes berkenaan.
Difahamkan, kes tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melibatkan permohonan perceraian atas alasan tiada persefahaman antara suami isteri.
Uqasha sebelum ini memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dengan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober.
Untuk info, pasangan ini bernikah pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia setahun enam bulan.
