Fly Studio Malaysia Ukir Detik Bersejarah Di Golden Horse Ke-62
Dalam kejutan mengangkat martabat industri kreatif tanah air, Fly Studio Malaysia muncul antara nama paling bersinar pada Anugerah Golden Horse ke-62 di Taiwan apabila produksi animasi tempatan itu berjaya membawa pulang trofi Kesan Bunyi Terbaik.
Pengiktirafan tersebut diraih menerusi barisan tenaga kreatifnya Gao Weiqi, Zhang Kaiqi dan Lin Xianmin, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia bersaing setara dengan produksi antarabangsa dalam arena perfileman berbahasa Cina yang cukup berprestij itu.
Pencapaian ini juga dilihat sebagai detik penting yang membuka mata dunia terhadap mutu kerja studio animasi tempatan.
Selain kejayaan Fly Studio Malaysia, karya tempatan lain turut mencipta impak besar. Antaranya, filem Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun mengungguli tiga kategori utama: Lagu Asal Terbaik (Penny Dai), Sinematografi Terbaik (Liang Mingjia) dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi bintang China, Fan Bingbing.
Filem The Waves Will Carry Us arahan Lau Kek Huat pula menambah deretan kemenangan Malaysia apabila pelakon Chen Xuenzhen diumumkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Anugerah Golden Horse yang mula dipentaskan pada 1962 di Taipei, dianggap sebagai penghormatan tertinggi dalam pawagam berbahasa Cina.
Untuk edisi kali ini, hampir 600 penyertaan merangkumi filem cereka, dokumentari dan animasi bersaing untuk merebut pengiktirafan tertinggi.
Mengulas kejayaan yang dianggap paling signifikan dalam sejarah penyertaan Malaysia di Golden Horse, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyifatkannya sebagai bukti ketekunan dan daya tahan pasukan produksi filem dan televisyen negara.
“Berita baik daripada Anugerah Golden Horse ke-62! Pasukan Malaysia menang paling banyak buat kali pertama dalam sejarah! Tahniah,” katanya dalam hantaran di Facebook sambil menzahirkan rasa bangga.
Dengan kemenangan Fly Studio Malaysia yang berjaya menyinar dalam kategori animasi, nama Malaysia sekali lagi terpahat di peta dunia dan membuktikan kreativiti tempatan bukan sekadar mampu berdiri, tetapi layak diraikan di pentas antarabangsa.
