“Sejak Cerai, Saya Hanya Fokus Anak-Anak”

“Sejak Cerai, Saya Hanya Fokus Anak-Anak”

Penyanyi Adira Suhaimi, 34, menegaskan dirinya tidak pernah berasa rimas apabila segelintir netizen masih berharap dia kembali bersama dengan bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu.

Menurut Adira, apa jua yang berlaku, Adnan tetap bapa kepada anak-anaknya dan dia tidak pernah melihat situasi itu sebagai satu beban.

“Saya tak pernah rasa rimas. Macam mana pun, dia tetap ayah kepada anak-anak saya. Itu kedudukan yang tak boleh diubah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Adira turut menjawab spekulasi panas mengenai dakwaan dia meninggalkan Adnan di sebuah lebuh raya sehingga tular baru-baru ini.

“Saya mengaku ada tinggalkan dia, tapi bukan tengah malam seperti yang diceritakan. Saya turunkan dia berhampiran stesen minyak supaya dia mudah buat apa yang perlu.

“Ada sebab-sebab tertentu yang saya tak boleh kongsi. Tak semua benda patut diceritakan kepada umum, cukup saya dan dia saja,” katanya.

Adira menjelaskan, pilihannya untuk tidak memberi penjelasan lanjut bukan kerana bersalah atau takut, tetapi ingin menjaga keharmonian banyak pihak.

“Saya tak nak keruhkan keadaan. Kalau saya balas kenyataan dia, saya bimbang ia akan jadi lebih teruk. Saya kena jaga banyak hati termasuk anak-anak, keluarga dan anak-anak tiri,” jelasnya.

Tambahnya, hubungan mereka masih baik dan masing-masing saling ambil tahu terutama tentang urusan anak.

“Depan-depan kami okey saja. Kalau urusan WhatsApp, saya minta kakak saya Emma Suhaimi yang uruskan,” katanya.

Menjawab dakwaan kehadiran bekas suami menyebabkan lelaki lain sukar mendekatinya, Adira bagaimanapun mengakui perkara itu langsung tidak pernah menjadi isu.

“Saya tak fikir pun hal-hal macam itu, sama ada orang takut nak dekat atau sebagainya. Sejak bercerai, saya hanya fokus kehidupan baharu bersama anak-anak. Itu yang paling penting,” katanya.

Related post

Leave a Reply