Cristina Suzanne Tak Mahu Hantar Anak Masuk Sekolah Asrama, Risau Isu Buli

Pelakon, Cristina Suzanne, 41, mempunyai pendirian tersendiri dalam membesarkan anak apabila memilih untuk tidak menghantar anak lelakinya, Adrian Noah Faiz, ke sekolah berasrama.
Menurut Cristina, keputusan itu dibuat kerana baginya proses untuk seorang anak berdikari lebih sesuai dilalui selepas tamat zaman persekolahan.
“Bagi saya, kalau dia nak benar-benar berdikari, masa yang sesuai adalah selepas habis sekolah. Waktu itu dia boleh tinggal sendiri dan mula bekerja, itu lebih tepat.
“Umur 18 tahun baru sesuai untuk ‘explore’. Kalau 14 atau 15 tahun, pada saya terlalu awal untuk dia urus serta kawal emosi,” jelasnya.
Selain itu, Cristina turut mengakui kebimbangannya terhadap kemungkinan isu negatif seperti buli sekiranya anaknya ditempatkan di asrama.
“Kalau tinggal di asrama, saya risau berlaku isu buli dan sebagainya. Takut nanti saya pula yang datang ke sekolah dan marah orang. Tak mahulah sampai dia rasa rimas dengan saya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Cristina menafikan dirinya seorang ibu yang terlalu mengongkong, sebaliknya lebih kepada mengambil langkah berjaga-jaga demi kebaikan anak.
“Saya bukan jenis ibu yang ‘overprotective’, lebih kepada risau. Jadi sebaiknya kita cuba elak perkara yang tak diingini daripada berlaku,” ujarnya.



