Pekukuh Budaya ASEAN, Mimi Fly Wakil Malaysia ke Filipina

Penyanyi terkenal Mimi Fly bakal mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila dijadualkan membuat persembahan di ASEAN-Korea Music Festival pada 18 dan 19 April ini di Araneta Coliseum, Filipina.
Festival yang dikenali sebagai ROUND 2026 itu bertujuan memperkukuh pertukaran budaya antara Korea Selatan dan negara-negara ASEAN menerusi persembahan muzik, koreografi serta kolaborasi kreatif antara artis serantau.
Mimi, atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, menyifatkan peluang mewakili negara sebagai satu penghormatan besar dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik.
“Saya berasa amat bangga kerana dapat mewakili Malaysia. Ini peluang untuk mempamerkan bakat di pentas serantau sekali gus membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.
“Ketika ini saya sedang giat membuat persiapan dan memperhalusi persembahan agar dapat memberikan yang terbaik,” katanya kepada media selepas sidang akhbar Konsert For You: Nourul.
Selain Mimi, festival tersebut turut menampilkan barisan artis dari rantau ASEAN seperti Pamungkas (Indonesia), Syafiq Abdulah (Brunei), TJ Monterde (Filipina) dan 10CM (Korea Selatan).
Penyanyi lagu Angkat dan Serumpun itu dijangka mempersembahkan beberapa buah lagu dalam set berdurasi 25 minit, dengan diiringi 16 penari dari Malaysia dan Filipina.
Dalam pada itu, Mimi juga bakal muncul sebagai artis jemputan dalam Konsert For You: Nourul yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.
Bekas anggota One Nation Emcees itu menyifatkan jemputan tersebut sebagai satu penghormatan selain mengeratkan lagi hubungan profesional dan persahabatannya dengan Nourul.
“Kak Nourul menghubungi saya melalui mesej langsung di Instagram dan meminta sokongan untuk konsertnya. Pada awalnya jadual kami bertembung, tetapi saya bersyukur tarikh diubah dan kami dapat bekerjasama,” katanya seperti yang dilaporkan BERNAMA.
Tambah Mimi, Nourul merupakan antara artis senior yang sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya serta sering menyampaikan kata-kata positif.
Selain aktif dalam bidang seni, Mimi turut menjalankan kelas tarian dan menjadi pengajar yoga sebagai cara mengekalkan kesihatan fizikal dan mental.
“Saya gemar mengajar tarian dan yoga kerana bukan sahaja membantu saya kekal cergas, malah memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjaga kesihatan. Ia juga melengkapi perjalanan seni saya,” katanya.
Foto BERNAMA



