Drama

Azizah Mahzan Sanggup Rugi Demi Pertahankan Kualiti Lakonan

Pelakon senior, Azizah Mahzan, 63, mendedahkan dia mempunyai cara kerja tersendiri dalam industri seni apabila memilih untuk tidak menandatangani kontrak mahupun menerima bayaran pendahuluan sebelum memulakan penggambaran sesebuah naskhah.

Menurut Azizah, keputusan itu dibuat kerana dia mahu memastikan projek yang diterima benar-benar menepati apa yang dipersetujui selain mengelakkan dirinya terperangkap dengan perubahan skrip atau jalan cerita secara mendadak di saat akhir.

Katanya, dia lebih selesa menilai situasi sebenar terlebih dahulu selepas berada di lokasi penggambaran sebelum membuat sebarang komitmen rasmi.

“Saya memang tak ambil deposit atau bayaran awal. Kontrak pun saya tak terus tandatangan.

“Saya akan datang ke set dahulu, mula bekerja dan lihat sendiri keadaan produksi sebelum saya teliti kontrak itu,” katanya.

Pelakon berpengalaman itu berkata lagi, pendekatan tersebut penting kerana baginya kekuatan utama sesebuah karya terletak pada skrip yang menjadi asas kepada pembentukan watak dan keseluruhan penceritaan.

Jelas Azizah, dia sangat menitikberatkan soal kualiti skrip kerana tidak mahu menjayakan karya yang akhirnya berubah jauh daripada perancangan asal.

“Sebagai pelakon, skrip itu jiwa kepada sesebuah cerita. Dari situlah kita faham karakter dan emosi yang mahu dibawa.

“Sekarang kebanyakan skrip hanya dihantar menerusi telefon atau WhatsApp dan kadang-kadang diterima terlalu lewat.

“Yang lebih mencabar apabila ada pihak produksi yang suka mengubah skrip atau merombak cerita secara tiba-tiba,” katanya.

Menurutnya lagi, dia pernah mengambil keputusan menarik diri daripada sesebuah produksi kerana tidak bersetuju dengan perubahan yang dilakukan sehingga menjejaskan keseluruhan naskhah.

Malah, Azizah mengakui dia sanggup menanggung kerugian sendiri termasuk kos perjalanan dan penginapan asalkan tidak perlu bekerja dalam keadaan yang menjejaskan emosinya sebagai pelakon.

“Kalau saya rugi RM1,000 atau RM1,500 sekalipun tak mengapa. Saya lebih takut kalau terpaksa menanggung tekanan dan hilang kepuasan bekerja.

“Saya tak mahu korbankan fikiran dan emosi hanya kerana mahu teruskan sesuatu yang saya sendiri tak yakin,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button