Berita

“Ada Yang Persoal, Kenapa Perlu Dengar Nasihat Saya”

Pelawak dan pelakon, Saiful Apek, 57, mengakui perkongsian berbentuk motivasi dan kata-kata positif yang dimuat naik di platform Threads sejak kebelakangan ini ada menerima reaksi sinis daripada segelintir netizen.

Bagaimanapun, anggota kumpulan Senario itu berkata perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkongsi pandangan serta kata-kata yang mampu memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan tekanan hidup.

Menurut Apek, dia sedar masih ada pihak yang mempertikaikan kelayakannya untuk memberi nasihat kerana dikaitkan dengan kisah silamnya sebelum ini.

“Sekarang ramai yang minta saya kongsikan kata-kata semangat di media sosial. Dalam masa sama, saya tahu ada juga segelintir yang kurang senang dengan perkara itu.

“Ada yang persoalkan kenapa perlu dengar nasihat daripada saya sedangkan saya juga pernah ada kisah silam.

“Tetapi bagi saya, tiada manusia yang sempurna. Orang yang pernah melakukan kesilapan masih ada peluang untuk berubah dan menjadi lebih baik,” katanya.

Apek berkata, setiap individu diberikan ruang oleh Allah SWT untuk memperbaiki diri dan memilih jalan hidup yang lebih baik.

Disebabkan itu, dia memilih untuk terus menyebarkan perkara positif kerana percaya sokongan moral dan kata-kata semangat mampu memberi kesan besar kepada individu yang sedang bergelut dengan emosi serta tekanan hidup.

“Dalam hidup ini kita diberi peluang dan pilihan. Jadi saya pilih untuk terus berkongsi perkara yang baik dan memberi semangat kepada orang lain.

“Kadang-kadang benda kecil yang kita tulis itu boleh memberi kesan besar kepada seseorang yang sedang melalui fasa sukar.

“Sekarang ramai orang berdepan kebimbangan, tekanan emosi dan serangan panik. Ada yang pendam terlalu lama sebab malu untuk bercerita dengan orang lain,” katanya lagi.

Menurut Apek lagi, ramai pengikut media sosialnya lebih selesa meluahkan masalah kepadanya kerana merasakan dirinya mudah didekati dan memahami situasi mereka.

Katanya, bukan semua individu memerlukan bantuan kewangan semata-mata kerana ada juga yang hanya mahukan seseorang untuk mendengar dan memberi sokongan moral.

“Ramai fikir bantuan itu hanya tentang duit, sedangkan ada orang yang sebenarnya perlukan semangat dan sokongan emosi.

“Mungkin kebiasaannya perkara seperti ini dilakukan oleh pakar motivasi atau pendakwah, tetapi saya tiada masalah untuk membantu dengan cara saya sendiri.

“Saya lebih suka guna pendekatan santai dan mudah difahami. Saya tak suka ayat terlalu berat atau terlalu puitis sampai orang susah nak faham,” ungkapnya.

Related Articles

Back to top button