“Sebelum Ini Ramai Ingat Saya Hilang”

Pelakon, Datuk Remy Ishak, 44, pernah melalui detik sukar dalam perjalanan karier seninya apabila berdepan tempoh panjang tanpa sebarang tawaran lakonan sehingga ramai menyangka dirinya sudah tidak lagi berminat untuk aktif berlakon.
Menurut pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, keadaan itu berlaku tanpa sebab yang jelas dan membuatkan dirinya sendiri tertanya-tanya mengapa namanya seakan-akan ‘hilang’ daripada radar industri hiburan tempatan ketika itu.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut dia sebenarnya masih bersedia untuk bekerja, namun peluang tidak datang seperti kebiasaan sehingga timbul persepsi kononnya dia sengaja memperlahankan karier seni.
“Orang fikir saya sudah tidak mahu berlakon, sedangkan ketika itu memang tiada tawaran dan saya sendiri tidak tahu apa puncanya.
“Alhamdulillah tahun ini banyak karya saya kembali ditayangkan termasuk filem Mikael: Pemburu Dua Alam. Sebelum ini ramai ingat saya menghilang, tetapi hakikatnya saya sendiri rasa seperti nama saya ‘ditanam’,” katanya.
Dalam masa sama, aktor itu tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang cuba menyekat atau mengetepikan dirinya daripada projek tertentu, namun memilih untuk melihat perkara tersebut sebagai antara cabaran biasa dalam dunia seni.
Menurutnya, industri hiburan kini juga dilihat semakin berbeza berbanding era awal penglibatannya dahulu yang lebih bersifat saling menyokong antara satu sama lain.
“Dulu suasana industri tidak seperti sekarang. Kami lebih banyak membantu dan menyokong sesama sendiri.
“Sekarang banyak perkara berubah. Ada cara-cara tertentu yang digunakan dan kadang-kadang wujud juga usaha untuk menjatuhkan orang lain,” ujarnya.
Walaupun pernah berasa kecewa dan terluka dengan situasi yang berlaku, Remy bagaimanapun memilih untuk terus bersikap positif serta menyerahkan soal rezeki kepada ketentuan Allah SWT.
Katanya, dia percaya setiap perjalanan hidup sudah diatur dan tiada siapa mampu menutup pintu rezeki seseorang jika sudah ditentukan untuknya.
“Saya percaya kalau ada orang cuba tutup satu pintu rezeki kita, Allah akan buka banyak lagi pintu lain.
“Mungkin saya terluka, tetapi saya reda. Setiap orang ada fasa masing-masing dan saya pilih untuk bersabar,” katanya lagi.
Terdahulu, Remy pernah mendedahkan dalam sebuah podcast bahawa dia didakwa disingkirkan daripada sebuah projek filem pada saat akhir walaupun sudah memberikan komitmen penuh terhadap produksi tersebut.
Lebih mengecewakan, pelakon itu turut mendakwa pernah menolak tawaran membintangi projek Hollywood serta beberapa naskhah dari Indonesia demi memberi fokus kepada projek berkenaan, namun akhirnya digugurkan tanpa diduga.



