Aniq Suhair ‘Hilang’ Sebab Sambung Belajar

Lebih setahun hilang dari radar seni, pelakon, Aniq Suhair, 24, menafikan dirinya merajuk dengan dunia hiburan.

Sebaliknya, menurut pemilik nama lengkap Mohammad Aniq Suhair Mohd Salleh, kehilangan buat sementara adalah untuk memberi fokus kepada pengajian dalam bidang perniagaan.

“Saya hilang bukan sebab saya merajuk dengan industri mahupun berkecil hati, tetapi saya berehat itu untuk memberi fokus kepada pelajaran dan usahakan bisnes.

“Rasanya lebih setahun juga saya menjauh dari kamera. Tempoh itu juga saya gunakan untuk pulihkan semula semangat supaya boleh kembali berlakon.

“Pengajian saya belum selesai lagi, berbaki beberapa bulan sahaja lagi, insya-Allah tamat pada Ogos nanti.

“Apabila rehat seketika, saya perasan saya boleh beri sepenuh tumpuan kepada pelajaran. Semua subjek dapat keputusan membanggakan,” katanya yang ditemui di sebuah majlis, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aniq turut mengulas mengenai kontroversi yang terpalit dengan dirinya apabila didakwa pernah menghamilkan seorang wanita.

Kata pelakon drama ‘Budak Intern’ itu, dia mengambil iktibar supaya lebih berwaspada dengan orang disekeliling yang sentiasa cuba menjatuhkannya.

“Tentang kontroversi tersebut, saya jadikan sebagai pengajaran besar dalam kamus hidup saya.

“Insiden itu mengajar saya supaya sentiasa berjaga-jaga dan tidak mudah percaya dengan mana-mana manusia yang datang dalam hidup kita.

“Sekarang saya lebih selesa berkawan dengan orang yang betul-betul jujur dan saling menyokong saya,” ungkapnya lagi.

Related post

Leave a Reply