FINAS Sambut Baik Pembukaan ‘Idea Live Arena’
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik pembukaan ‘Idea Live Arena’ yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan industri hiburan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat budaya serta pelancongan bertaraf global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, pembukaan ruang acara terbaharu itu selari dengan hasrat Kementerian Komunikasi berhubung pelaksanaan Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) yang diumumkan, baru-baru ini.
“Bermula 15 Mei 2025, sebanyak RM10 juta setahun akan diperuntukkan melalui CEMI bagi menyokong penganjuran acara berskala besar yang mampu menarik lebih 15,000 pengunjung dan menggabungkan penyertaan artis tempatan dan antarabangsa.
“Kita mengalu-alukan kemudahan seperti ini untuk membangunkan industri kreatif, bukan sahaja dari segi hiburan, malah pendidikan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan hiburan serantau,” katanya.
Selain Azmeer, turut hadir ke acara pelancaran termasuklah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing.

Berkongsi lanjut, Azmir berkata, ruang acara yang boleh memuatkan kira-kira 7,000 orang dalam satu masa itu sudah menerima tempahan daripada penganjur acara sehingga hujung tahun.
“Idea Live Arena boleh memuatkan sehingga 7,000 penonton dan dilengkapi peralatan terkini sesuai untuk mengadakan konsert, pameran dan pelbagai acara hiburan.
“Walaupun baru sahaja dilancarkan tapi sudah menerima tempahan sampai hujung tahun,” luahnya lagi.
Pembukaan arena ini juga seiring dengan aspirasi nasional untuk memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan budaya dan hiburan, selari dengan matlamat Visit Malaysia 2026 (VM2026).
‘Idea Live Arena’ yang terletak di dalam pusat beli-belah 3 Damansara, Petaling Jaya, dibangunkan menerusi pelaburan RM40 juta, membabitkan kerja naik taraf struktur, pengubahsuaian serta pemasangan sistem teknikal bertaraf antarabangsa.