Lakonan Jadi Perhatian, Bulan Henti Bicara Ujian Pertama Buat Azar Azmi

Penantian peminat akhirnya berakhir apabila pelakon popular, Azar Azmi, kembali menghiasi kaca televisyen selepas tujuh tahun menyepi daripada dunia lakonan menerusi drama bersiri Bulan Henti Bicara yang mula bersiaran malam ini di slot Megadrama Astro Ria.
Kemunculan semula pelakon itu sudah pun mencuri perhatian ramai sejak pengumuman rasmi dibuat pada Mei lalu.
Malah, video pengumuman yang diterbitkan Bambam Studios mencetuskan fenomena apabila meraih lebih sejuta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang 24 jam, sekali gus membuktikan aura Azar masih utuh dalam kalangan peminat.
Lebih menarik, kepulangan Azar bukan sekadar mengubat kerinduan penonton, sebaliknya dia tampil memikul watak Faziah yang sarat dengan emosi dalam naskhah yang mengangkat isu kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan dan penderaan rumah tangga.
Menurut Azar, dia mengambil masa kira-kira seminggu sebelum bersetuju menerima tawaran membawakan watak berkenaan kerana menyedari cabaran besar yang perlu digalas.
“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan menerima watak Faziah. Untuk menjadi Faziah bukan mudah kerana dia sangat mengharapkan kasih sayang, tetapi tidak pernah memilikinya.
“Saya akhirnya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan seluruh pasukan produksi. Alhamdulillah, saya dapat bekerjasama dengan Kak Eyra yang banyak membantu membentuk karakter Faziah sehingga menjadi seperti yang penonton saksikan hari ini,” katanya pada sidang media drama itu baru-baru ini.
Bulan Henti Bicara mengisahkan kehidupan Zulfa yang terperangkap antara tanggungjawab sebagai anak yang taat kepada bapanya dan sebagai isteri yang menjadi mangsa penderaan mental serta fizikal.
Perjalanan hidupnya dipenuhi pelbagai ujian yang menguji kekuatan hati, kepercayaan serta maruah diri.
Drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya itu diarahkan Eyra Rahman dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Farah Ahmad, Hushairy Hussein, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha, Nik Ramly atau Poknik, Qistina Rania dan Rafique Iskandar.
Dengan jalan cerita yang menyentuh emosi, lakonan mantap serta kemunculan semula Azar yang dinanti-nantikan peminat, Bulan Henti Bicara dilihat berpotensi menjadi antara drama paling hangat diperkatakan tahun ini.
Drama bersiri itu boleh disaksikan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi Astro Ria serta distrim pada bila-bila masa menerusi aplikasi sooka.



