Trending

Gerak Khas Bertahan Lebih 2 Dekad, Yusof Haslam Nafi Guna ‘Kabel’

Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam, 72, menepis dakwaan kononnya kejayaan drama bersiri Gerak Khas kekal bertahan selama lebih dua dekad adalah disebabkan mempunyai ‘kabel’ dalam industri penyiaran.

Menurut Yusof, dakwaan itu sering menjadi bahan usikan dalam kalangan rakan industri, lebih-lebih lagi apabila drama ikonik terbitannya itu berjaya berpindah siaran daripada RTM ke TV3 dan kini bakal ditayangkan pula di TV Sarawak (TVS).

“Kabel apa? Kau ingat TVS itu bapak aku punya kah? Macam dulu juga RTM. Kenapa kau tak habis-habis itu? Lillahi Taala tak ada kabel,” katanya.

Drama terbitan Sarawak Media Group (SMG) dengan kerjasama Skop Productions itu bakal menemui penonton menerusi TVS bermula 3 Julai ini.

Mengulas kejayaan Gerak Khas yang kini mencecah 1,054 episod, Yusof berkata, populariti drama berkenaan bukan bergantung kepada mana-mana individu, sebaliknya disokong oleh sambutan penonton yang tidak pernah luntur.

Katanya, walaupun beberapa Menteri Penyiaran dan Ketua Polis Negara silih berganti sepanjang tempoh penerbitannya, Gerak Khas tetap berjaya mengekalkan tempatnya kerana menerima kadar tontonan yang tinggi.

“Ada menteri yang pernah kata nak tamatkan drama ini di RTM, tapi orang kuat di RTM beritahu drama ini dapat rating utama di RTM dan ia kena kekalkan.

“Nasib baik Tuhan bagi saya tenaga untuk terus berjuang. Anak-anak saya pun banyak menyokong. Syafiq pun sokong. Mereka sentiasa berada di belakang saya,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof mendedahkan dia pernah menawarkan anaknya yang juga pengarah terkenal, Syafiq Yusof, untuk mengambil alih kerusi pengarah Gerak Khas, namun hasrat itu ditolak.

Menurutnya, Syafiq memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada pembikinan filem dan enggan membahagikan fokus kepada drama.

“Saya suruh Syafiq buat Gerak Khas, tapi dia kata dia penat. Dia nak fokus kepada filem saja. Mak dia pun pesan jangan ganggu, biar mereka fokus buat filem. Jadi saya biarkan mereka teruskan kerja masing-masing. Bapak dia yang tua ini buat drama lah,” kongsinya.

Dalam perkembangan sama, Yusof mengakui penerbitan Gerak Khas bukanlah projek yang memberi pulangan lumayan dari sudut komersial.

Sebaliknya, dia meneruskan penerbitan drama itu kerana mahu menyumbang kepada industri serta mengangkat imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi medium televisyen.

Related Articles

Back to top button