Siti Saerah Sedih Ahmad Dayyan Pindah Kuantan

Penyanyi, Siti Saerah, 43, mengakui berat hati untuk berjauhan dengan anak lelakinya, Ahmad Dayyan yang kini memilih untuk menetap di Kuantan bersama bapanya, Saiful Anuar.
Menurut pemilik nama sebenarnya Siti Nursairah Tarudin, keputusan tersebut dibuat sendiri oleh Dayyan dan sebagai ibu, dia menghormati pilihan anaknya itu demi kebaikan masa depan.
“Kita sebagai ibu tak pernah menghalang kalau dia rasa keputusan untuk pulang ke sana adalah yang terbaik untuk dirinya.
“Bagi saya tiada masalah dan hubungan kami semua dalam keadaan baik. Tak ada sebarang isu,” katanya.
Saerah berkata, apabila anak semakin meningkat remaja, mereka mula mempunyai pendirian serta kehendak sendiri dan sebagai ibu dia memilih untuk memberi ruang kepada Ahmad Dayyan membuat keputusan.
“Bila anak dah besar, kadang-kadang mereka ada pilihan sendiri dan saya memang tak pernah menghalang apa yang dia mahu,” ujarnya.
Bagaimanapun, Saerah mengakui dirinya tetap berasa sedih dengan perubahan tersebut sehingga pernah mengalami kesukaran untuk tidur memikirkan anaknya.
“Ibu mana yang tak sedih. Memang saya rasa sedih sampai susah nak tidur, tapi saya kena terima sebab itu pilihan dia.
“Saya hanya mampu doakan yang terbaik dan berharap keputusan yang dibuat itu akan membawa perubahan positif dalam hidupnya,” katanya lagi.
Tambah Saerah, dia percaya setiap anak muda mempunyai perjalanan dan keinginan tersendiri dalam mencari kebahagiaan hidup.
“Kadang-kadang anak muda ini ada macam-macam yang mereka fikir dan mahukan. Jadi kita sebagai ibu kena cuba faham dan ikut apa yang mereka rasa terbaik.
“Kalau keputusan itu membuatkan dia lebih gembira dan menjadi insan yang lebih baik, saya pun akan turut rasa bahagia,” katanya.
Dalam pada itu, Saerah menjelaskan kerjaya nyanyian Ahmad Dayyan masih berjalan seperti biasa walaupun kini tinggal berjauhan dengannya.
Menurutnya, Ahmad Dayyan masih terikat dengan komitmen kerja termasuk kontrak rakaman bersama syarikat World Peace Music.
“Sekarang ini Amad masih ada kontrak lagu yang perlu diselesaikan. Jadi apa pun yang berlaku, kerja tetap kena teruskan.
“Saya ada pesan pada dia, tanggungjawab yang sudah dimulakan perlu diselesaikan dengan baik,” ujarnya.
Saerah berkata, sebagai ibu dia hanya mampu terus memberi sokongan dan mendoakan agar anaknya berjaya dalam apa sahaja pilihan hidup yang dibuat.
“Saya cuma mahu tengok dia berjaya dan bahagia dengan jalan yang dia pilih sendiri,” katanya lagi.



