“Saya Menghidap Autoimun Hipertiroid”

Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee, 35, mengakui pernah melalui fasa sukar apabila terpaksa bergantung kepada sehingga 15 biji ubat sehari selepas disahkan menghidap penyakit autoimun hipertiroid.
Menurut pemilik nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile, penyakit tersebut bukan sahaja menjejaskan kesihatan dalaman, malah turut memberi kesan besar terhadap fizikal dan rutin hariannya.
Bagaimanapun, penyanyi itu bersyukur keadaan dirinya kini semakin stabil selepas menjalani rawatan secara konsisten sehingga hanya perlu mengambil dua biji ubat sehari.
“Saya menghidap autoimun hipertiroid, iaitu keadaan apabila hormon dalam badan menjadi terlalu aktif. Bila hormon berlebihan, ia boleh menyerang organ-organ lain dalam badan.
“Saya pernah mengalami masalah gigi bernanah sampai tiga bulan tidak berhenti. Nak berdiri pun cepat semput, malah ketika memandu saya tidak mampu tekan pedal minyak terlalu lama sebab badan menggigil.
“Masa tidur pula saya boleh tiba-tiba menjerit kerana kekejangan badan,” katanya.
Tambah Andi, dia sebenarnya sudah berdepan penyakit tersebut sejak lebih setahun lalu, namun memilih untuk menafikan keadaan dirinya demi meneruskan komitmen kerja seperti biasa.
“Sebenarnya saya dah lama sakit, lebih kurang setahun juga. Tapi saya cuba nafikan dan tetap bekerja seperti biasa termasuk pergi penggambaran dan menyanyi,” katanya lagi.
Menurut Andi, kesan penyakit berkenaan menyebabkan berat badannya merosot secara mendadak sehingga pernah mencecah 46 kilogram (kg).
Namun kini, dia bersyukur apabila berat badannya kembali meningkat kepada 67kg selepas tahap kesihatannya semakin baik.
“Sekarang berat badan saya dah naik semula ke 67kg. Dulu masa sakit, berat saya pernah turun sampai 46kg,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Andi turut menjelaskan penampilannya yang sebelum ini sering dilihat memakai topi dan pelitup muka bukan kerana mahu menyisihkan diri daripada orang ramai.
Sebaliknya, dia hanya mahu mengelakkan perhatian terhadap perubahan fizikal yang dialaminya ketika sedang sibuk mempromosikan album terbaharu.
“Saya masih keluar rumah seperti biasa, cuma saya pakai topi dan pelitup muka. Sebab itu mungkin ramai tak perasan keadaan saya.
“Dalam industri ini memang kita perlukan perhatian, tetapi ketika teaser video album sedang keluar, saya tak mahu orang jadi keliru dengan perubahan fizikal saya.
“Saya risau nanti orang bandingkan penampilan dalam video dengan keadaan sebenar di luar, kemudian timbul macam-macam spekulasi. Jadi saya ambil keputusan untuk lindungi diri ketika itu,” katanya.
Andi dalam masa sama memaklumkan dia baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital dan bersyukur kerana tahap kesihatannya kini menunjukkan perkembangan positif.
“Alhamdulillah, saya baru keluar hospital pada Selasa dan sekarang hanya perlu makan dua biji ubat sehari,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Andi bakal melancarkan album baharu berjudul Ding Geding.



