Emma Maembong & DJ Kidd Kembali Bercinta?

Pelakon, Emma Maembong, 38, mencuri perhatian netizen apabila tular sekeping foto yang memperlihatkannya bersama bekas kekasih, DJ Kidd sekali gus mencetuskan spekulasi hubungan mereka kembali bertaut selepas berpisah kira-kira dua bulan lalu.
Menerusi gambar yang dikongsikan seorang pengguna Threads, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail dilihat bergambar mesra bersama DJ Kidd ketika menghadiri satu acara.
Perkongsian itu pantas mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mula tertanya-tanya mengenai status sebenar hubungan mereka, memandangkan DJ Kidd sebelum ini pernah mengesahkan mereka tidak lagi bercinta.
Lebih menguatkan spekulasi, akaun tersebut turut menyertakan kapsyen yang menggelarkan Emma dan DJ Kidd sebagai pasangan kekasih.
Sementara itu, DJ Kidd pula dilihat meninggalkan komen berupa emoji hati berwarna putih pada hantaran tersebut, sekali gus menambah tanda tanya dalam kalangan peminat.
Rata-rata netizen meluahkan rasa gembira sekiranya kedua-duanya benar-benar kembali bersama, selain berharap hubungan mereka dapat dipertahankan dengan lebih baik kali ini.
Sebelum ini, Emma pernah mengakui sedang berkawan rapat dengan DJ Kidd dan hubungan mereka sering menjadi perhatian ramai sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, DJ Kidd menerusi satu hantaran di Instagram memaklumkan bahawa hubungan mereka telah berakhir dan meminta orang ramai berhenti bertanyakan mengenai Emma kepadanya.
Emma kemudiannya turut mengesahkan perpisahan tersebut, selain mengakui masing-masing sudah membawa haluan sendiri.



