Berita

Warga Asing Sifatkan Rain Rave Water Music Tidak ‘Cukup Malaysia’

Rain Rave Water Music Festival yang berlangsung di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei lalu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang memuji usaha kerajaan dalam mempromosikan pelancongandan ada juga yang mengkritik acara tersebut sebagai mengundang keburukan berbanding hal yang baik.

Seorang pelancong yang menghadiri festival itu berkongsi pandangannya menerusi video di TikTok, dengan menyatakan acara tersebut kurang berjaya menampilkan identiti Malaysia.

Dalam video yang dimuat naik oleh Roman Travels, dia hadir ke festival itu selepas melihat reaksi pelbagai daripada orang ramai.

Dia kemudiannya menghuraikan beberapa aspek festival yang membuatkannya memahami kedua-dua sisi perdebatan oleh netizen dengan lebih jelas.

“Acara itu sebenarnya dianjurkan dengan baik. DJ yang bagus, susunan pentas yang mantap dan mereka yang hadir nampak sangat menikmati suasana. Tetapi bagi saya secara peribadi, ada sesuatu yang terasa kurang kena.

“Saya sudah tinggal di Malaysia selama kira-kira sembilan bulan dan antara perkara yang saya hargai di sini ialah budayanya.

“Tetapi ketika berada di acara itu, ia tidak terasa begitu ‘Malaysia’ bagi saya. Elemen rave lebih menonjol berbanding aspek lain,” katanya.

Roman turut menjelaskan persepsinya itu sebahagian dipengaruhi oleh cara acara tersebut dipromosikan.

“Nama festival itu sendiri lebih menekankan vibe ‘rave’ dan kebanyakan kandungan dalam talian juga fokus kepada aspek itu, sehingga bahagian budaya acara kurang ditonjolkan.

“Jadi ia terasa seperti tidak sepadan antara apa yang ia boleh jadi… dan apa yang sebenarnya dirasai,” kongsinya lagi.

Roman berkata, dia sendiri tidak pasti sama ada acara rave sesuai dengan konteks Malaysia secara keseluruhan, sambil berseloroh mungkin faktor usia membuatkannya berasa begitu.

Sebelum dan sepanjang penganjuran festival tersebut, ia turut menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai acara yang bertentangan dengan nilai moral, budaya dan norma tempatan.

Walaupun berdepan kritikan, festival tiga hari itu berjaya dilaksanakan sepenuhnya dan dilaporkan menjana pendapatan sebanyak RM200 juta, menurut sebuah kumpulan industri pelancongan.

Related Articles

Back to top button