Nubhan Sedia Tarik Kes Jika Dr Afifah Mohon Maaf

Penyanyi, Nubhan dan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sekali lagi bertemu di mahkamah susulan prosiding komital yang difailkan terhadap wanita itu.
Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan Dr Afifah memfailkan afidavit pembelaan berkaitan dakwaan pelanggaran perintah mahkamah.
Dr Afifah, 36, mengakui terkejut menerima notis berkenaan dan mendakwa tidak mengetahui punca tindakan yang diambil oleh bekas suaminya itu.
“Saya pun tak tahu kenapa perkara ini berlaku, tetapi saya akan ikut proses mahkamah menggunakan saluran yang betul. Saya hanya berharap ada keadilan,” katanya.
Menurutnya, situasi tersebut turut memberi kesan kepada emosi dan kesihatan mentalnya, apatah lagi dia kini perlu menguruskan anak-anak seorang diri.
Dia juga berharap agar Nubhan dapat mempertimbangkan semula tindakan tersebut demi kebaikan bersama, khususnya melibatkan masa depan anak-anak mereka.
Dalam masa sama, sumber memaklumkan Nubhan memfailkan prosiding komital atas dakwaan terdapat pelanggaran terhadap perintah mahkamah oleh bekas isterinya.
Bagaimanapun, penyanyi itu dilaporkan bersedia menarik balik kes berkenaan sekiranya Dr Afifah tampil memohon maaf, sekali gus membuka ruang penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah pernah mendirikan rumah tangga pada Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai pada 2025. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.



