Concert

Tanda Terima Kasih, Ungu Rai Perjalanan Tiga Dekad Di Kuala Lumpur

Melalui perjalanan 30 tahun sebagai anak seni sebetulnya bukan satu jangka masa yang pendek. Pelbagai onak duri, cabaran dan kejayaan silih berganti menjadikan kumpulan yang satu ini mampu bertahan sehingga hari ini.

Bagi kumpulan muzik ikonik dari Indonesia, Ungu, perjalanan itu kini diraikan menerusi sebuah konsert istimewa, Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur, yang diumumkan baru-baru ini.

Ditubuhkan pada Julai 1996 kumpulan ini dianggotai oleh Pasha selaku vokalis, Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram).

Ungu bukan sahaja telah membina sebuah legasi yang merentasi generasi dengan penghasilan karya yang popular, tetapi turut menjadi sebahagian daripada memori indah bagi peminat di Malaysia dan Indonesia.

Mengangkat tema 3 Dasawarsa atau tiga dekad, konsert ini tidak hanya berdiri sebagai sebuah persembahan, tetapi sebagai sebuah dokumentasi hidup dengan merakam perjalanan seni Ungu yang berkembang dari akar sederhana kepada status legenda serantau.

Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy dadipas COMs. Creative Studio, konsert ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia.

“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu, dengan objektif utama untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia. Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka. 

“Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad dari mula sehinggalah sekarang,” katanya.

Bagi menterjemahkan perjalanan ini ke pentas, konsert akan distrukturkan dalam tiga segmen utama: The Birth, The Peak dan The Legacy yang membawa penonton menyelusuri evolusi Ungu dari awal kemunculan hingga menjadi sebuah nama besar dalam industri.

Daripada karya-karya awal yang membentuk identiti mereka; ke era kegemilangan yang dipenuhi pencapaian dan pengiktirafan; hingga ke fasa legasi yang menandakan kekuatan dan kesinambungan, di mana setiap segmen dirangka sebagai satu bab dalam naratif yang lebih besar.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, malam tersebut dijangka tampil sebagai sebuah pengalaman yang menakjubkan dengan pelbagai elemen kejutan yang dirancang khas bagi memperkayakan setiap detik di atas pentas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, KS Tan berkata kekuatan Ungu terletak pada lebih daripada sekadar muzik yang dihasilkan.

“Untuk bertahan selama tiga dekad, ia bukan hanya tentang muzik, tetapi juga ketahanan mental, jatuh bangun dalam industri, serta nilai ‘brotherhood’ yang dibina sejak awal penubuhan. 

“Konsert ini adalah refleksi kepada keseluruhan perjalanan itu,” katanya yang menghadapkan sebahagian besar peminat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Ungu beraksi nanti.

Konsert ini bakal berlangsung pada 5 September ini di Idea Live Arena, turut akan menampilkan lima artis jemputan istimewa yang dipilih sendiri oleh Ungu yang akan diumumkan sedikit masa nanti.

Related Articles

Back to top button