Izreen Azminda & Bekas Madu Pilih Berdamai

Pelakon, Izreen Azminda, 41, meluahkan rasa syukur apabila kemelut berpanjangan dengan bekas madu, Intan Liana Salleh akhirnya menemui titik noktah.
Izreen berkata dia berasa lega apabila konflik yang sebelum ini berlarutan berjaya diselesaikan secara baik tanpa perlu diteruskan dengan pertikaian berpanjangan.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya pertikaian antara kami dapat diselesaikan secara baik. Terima kasih Intan.
“Harapan saya agar selepas ini, hubungan yang terjalin dapat dipelihara demi kebahagiaan bersama, terutama untuk anak-anak,” katanya menerusi sebuah hantaran.
Dalam perkongsian tersebut, Izreen turut memuat naik foto dirinya berpelukan dengan Intan ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bagi prosiding kes saman fitnah yang difailkan pada tahun 2023.
Sebelum ini, Izreen mengambil tindakan undang-undang terhadap Intan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Dalam masa sama, pelakon itu turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas segala tindakan lalu yang mungkin menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Saya ingin memohon maaf sekiranya ada perbuatan atau tindakan saya sebelum ini yang mengguris hati Intan dan sesiapa sahaja,” katanya.
Izreen mahu membuka lembaran baharu dalam kehidupannya dengan menjelaskan bahawa perkongsian di media sosial selepas ini adalah bersifat peribadi dan tidak lagi melibatkan mana-mana individu.
“Semoga Allah menjaga dan memelihara hubungan ini ke arah yang lebih baik. Insya-Allah, semoga ikatan ini sentiasa dalam peliharaan-Nya,” ujarnya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Izreen, Muhammad Hafiz Hood memaklumkan kedua-dua pihak telah melalui beberapa sesi perbincangan sebelum mencapai kata sepakat.
Menurutnya, penyelesaian tersebut dibuat secara damai tanpa sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak.
Untuk rekod, Izreen mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Radzi Abdi Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude pada 8 Ogos 2017. Ude sebelum ini pernah berkahwin dengan Intan pada Mac 2013 sebelum bercerai pada 22 Mac 2018.



