Tiba-Tiba Rasa Asing Dengan Imej Berhijab, Malia Baby Mohon Istiqamah

Pelakon, Malia Baby, 26, mendedahkan melalui pergelutan emosi apabila mengakui berdepan konflik dalaman berkaitan pemakaian hijab yang sudah sebati dalam dirinya sejak sekian lama.
Pemilik nama sebenar Tengku Nur Kamelia Aisyah Tengku Norkamarulhaiza, berkata dia kini melalui satu fasa yang cukup mencabar selepas lebih sedekad berhijab dan tiga tahun tampil menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, timbul perasaan janggal terhadap imej tersebut sehingga membuatkan dirinya berasa tidak tenang.
“Saya mula rasa sesuatu yang aneh, benda yang selama ini sebati dengan diri tiba-tiba terasa asing. Saya tak pernah buka hijab, tapi entah kenapa saya rasa seperti terputus hubungan dengan imej itu,” kongsinya menerusi sebuah hantaran.
Malia turut mengakui mula mempersoalkan dirinya sama ada gaya berpakaian yang diamalkan selama ini benar-benar datang daripada kehendak sendiri atau sekadar menyesuaikan diri dengan tuntutan berhijab.
“Perasaan ini buat saya rasa bersalah. Saya tahu kenapa saya pakai hijab dan untuk siapa, tetapi pada masa sama ia sangat mengganggu fikiran.
“Dulu saya lihat hijab sebagai identiti dan pelindung. Kadang-kadang ia memang terasa begitu, tapi sekarang ia seolah-olah menjadi satu beban,” luahnya.
Lebih membimbangkan, Malia berkata keadaan tersebut turut memberi kesan kepada keyakinan dirinya sehingga ada ketika dia mengelak untuk melihat cermin dan keluar rumah.
“Saya tahu ini ujian daripada Allah, tapi ia bukan sesuatu yang mudah. Saya tak mahu kalah dengan perasaan sendiri. Saya tak mahu kehilangan sesuatu dalam diri saya, perkara ini sangat penting sampai buat saya rasa tidak selesa,” ungkapnya..
Dalam masa sama, Malia mengakui timbul kebimbangan sebagai wanita muda yang belum berkahwin, selain rasa takut menyesal kerana tidak melalui kehidupan seperti yang diinginkan.
“Mungkin ini hanya fasa, tapi suara dalam fikiran itu terlalu kuat sampai buat saya penat secara mental. Ada sebahagian diri saya yang mula mempersoalkan perkara yang selama ini saya pegang sebagai identiti,” ujarnya.
Walaupun berdepan ujian berat, Malia menegaskan dia masih berusaha untuk kekal kuat dan tidak berputus asa.
“Alhamdulillah, saya masih bertahan dan cuba sebaik mungkin. Saya tak tahu bagaimana nak lalui fasa ini, tapi saya akan terus mencuba.
“Saya sangat hargai jika semua dapat mendoakan saya agar terus kuat dan melihat segala ujian ini dari sudut yang lebih baik. Doakan saya,” katanya.



