Berita

Gara-Gara Insiden Penumpang China Mengamuk, Lelaki Ini Terlepas Penerbangan Sambungan Ke Maldives

Seorang lelaki warga China yang menyaksikan insiden kekecohan dalam pesawat baru-baru ini tampil berkongsi pengalamannya, mendakwa kejadian tersebut menyebabkan kelewatan besar dan menjejaskan penumpang lain.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan penerbangan tertangguh lebih sejam, sehingga dia terlepas penerbangan sambungan ke Maldives.

Menerusi perkongsian di Xiaohongshu, lelaki itu mengkritik tingkah laku wanita terbabit, sambil menegaskan bahawa perbuatannya tidak boleh dianggap sebagai mempertahankan hak diri.

Sebaliknya, dia menyifatkannya sebagai sikap ‘terlalu berhak’ atau overbearing entitlement.

Lelaki itu berkata, dia beberapa kali terfikir untuk campur tangan bagi menghentikan situasi tersebut, namun teragak-agak kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih tegang.

Tambahnya, individu yang berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil selalunya sukar untuk diajak berbincang secara rasional, dan campur tangan mungkin akan memburukkan keadaan.

Dia turut menyentuh perbincangan dalam talian yang cuba mengaitkan insiden itu sebagai konflik antara China dan Malaysia.

Menurutnya, isu tersebut langsung tidak berkaitan dengan kewarganegaraan, sebaliknya berpunca daripada sikap individu.

Katanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa standard dalam penerbangan antarabangsa, dan mempersoalkan sama ada wajar untuk mengharapkan kru kabin menguasai pelbagai bahasa asing hanya untuk memenuhi kehendak setiap penumpang.

Menurutnya lagi, wanita tersebut berulang kali meninggikan suara, mengugut kru kabin dan mengganggu operasi pesawat ketika ia sedang bergerak di landasan.

Perbuatan itu, katanya, menunjukkan kekurangan profesionalisme sebagai seorang penumpang penerbangan komersial.

“Walau apa pun niatnya, dia mungkin berdepan akibat seperti tuntutan pampasan kos bahan api, caj pengendalian darat dan kelewatan penerbangan. Dia juga berisiko disenarai hitam daripada penerbangan akan datang.”

Dia mengakhiri perkongsian dengan menyeru netizen agar tidak membesarkan isu ini menjadi isu nasional, sebaliknya melihatnya sebagai masalah tingkah laku individu.

Related Articles

Back to top button